Wednesday, August 17, 2011

Nuzul Al-Quran

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang



Peristiwa Nuzul Al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW.



Erti Nuzul Al-Quran


“Nuzul” bereti turun atau berpindah, iaitu berpinda dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah. “Al-Quran” pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana Al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam Al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah Al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata “Al-Quran mukjizat akhir zaman” atau “Al-Quran yang mempunyai mukjizat”. Malah inilah sebenarnya kelebihan Al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam Al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam Al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini, kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
[Surah Al-An’am : 38]

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan, dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan Al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, Al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan Al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan. Proses penurunan Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 23 tahun. 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.


Bila dan Bagaimana Al-Quran Diturunkan

Terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad SAW.

Pendapat pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1 – 4 Surah Ad-Dukhan.

Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat kedua adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. Ini adalah kerana malam Lailatul Qadar yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah terjadi pada tanggal 17 Ramadhan.

Adapun dalam firman Allah SWT pada ayat 41 Surah Al-Anfaal, iaitu: “..jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad SAW) pada hari Furqan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan (di Perang Badar, antara muslimin dan kafirin)...”[Surah Al-Anfaal : 41]. Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.

Tetapi sebenarnya ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut). “Ketahuilah sesungguhnya apa sahaja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan). [Surah Al-Anfal : 41]

Dan apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul Qadar dan kelahiran Rasulullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan pada waktu di dalam takwim, maka diperolehi kesimpulan yang lebih tebat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 21 Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam “Lailatul Qadar” sebagaimana disebut adalah Al-Quran yang turun sekaligus di “Baitul Izzah: di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasulullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.

Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad SAW adalah ayat 1 – 5 Surah Al-‘Alaq.
Dan peristiwa ini terjadi ketika Nabi SAW sedang bertahannus (menyediri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 hingga 281 dari Surah Al-Baqarah.


Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul Al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatul Qadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah  SWT,
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
 [Surah al-Qadar :1-5]

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan  berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan  bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca Surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Panduan
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam Al-Quran
2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam Al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam Al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.
Manakala penurunan Al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”. 
Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.



Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatul Qadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatul Qadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatul Qadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.

Kehebatan al-Quran
1. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” [Surah Al-Israa’ : 88] 
2. Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala. 
3. Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat. 
4. Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta  ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “ dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu, selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yang benar.” [Surah Al-Baqarah : 23].
5. Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi SAW. 
6. Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia Al-Quran secara menyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, kesaktian, keagungan dan keunggulan Al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan mendalam  kekal terpelihara hingga kiamat. 
7. Al-Quran sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah berfirman yang bermaksud: “Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.”  [Surah Al-Baqarah : 2]  
8. Membaca Al-Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah saw bersabda dengan maksud: ‘Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” 

Tuntutan Al-Quran

Tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya

1.Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya.
2.Hak untuk bertakbir atau memahamin makan dan menjiwai kehidupan.
3.Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.


Peringatan

1.Al-Quran untuk dibaca bukan dijadikan perhiasan.
2.Al-Quran tidak menjadi syifa’ (ubat) bagi orang yang ingkar dan zalim.
3.Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.
4.Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah Al-Quran dengan keizinan Allah.


Kesimpulan  

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).

Semoga Ramadhan kali ini membawa rahmat kepada kita semua, amin.

Monday, August 15, 2011

Nasihat Buat "Kawan-Kawan"ku


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Nasihat ini ditujukan khas buat "kawan-kawan"ku

Assalamu'alaikum

Apa khabar kawan-kawan? Sihat? Lama tidak dengar khabar, rindu nak berjumpa. Semoga kawan-kawan dalam perlindungan Allah.

Kawan-kawan VS Sahabat-sahabat
Persahabatan VS Ukhuwah

Indahnya Ukhuwah kerana Allah 
Sahabat-sahabat itu lebih mendalam maknanya berbanding kawan-kawan,
Ukhuwah itu juga lebih mendalam daripada persahabatan.


Sudah lama aku ingin cari peluang untuk menyampaikan nasihat ini kawan-kawan tapi tak tahu macam mana nak sampaikan kepada kamu. Aku risau kamu akan kecil hati dan terguris kerana kamu adalah "kawan-kawan"ku yang terbaik. Tidak sanggup untuk sakitkan hati kamu semua tetapi harus ku sampaikan juga kerana ini adalah dari Allah.

Aku ingin "kawan-kawan"ku berubah menjadi "sahabat-sahabat" yang lebih bermakna dan menjalinkan ukhuwah atas dasar aqidah yang satu bukan lagi atas nama "persahabatan" semata-mata.

Masih ingat lagi Ustazah Zuraidah dan Ustazah Laily? Ustazah Zuraidah amat lembut dalam menyampaikan nasihatnya tetapi Ustazah Laily amat pedas! Siapa yang termakan cili, dia terasa "pedas"nya. Biarpun pedas tetapi sampai juga apa yang diperkatakan. Kenapa dia buat macam itu? Kerana Ustazah sayang kita semua. Begitulah juga aku. Aku sayangkan kamu semua dan adalah menjadi kewajipanku untuk sampaikan.

"Barangsiapa yang menyebut La Ilaha Illallah, maka dia adalah dai'e"

Aku bukannya ustazah, tetapi seorang manusia biasa punya hati untuk membawa "kawan-kawan" bersama menerajui perjuangan bersama-sama.

Nilai Tudung

Setelah sekian lama kita tidak berjumpa dek kerana masing-masing punya matlamat dan impian untuk dikejar, banyak yang telah berubah terutamanya penampilan diri.

Tidak salah berfesyen ataupun berhias "kawan-kawan"ku tetapi ada batasnya kerana Allah telah menggariskan dalam Al-Quran seperti berikut:

Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya,...
[Surah An-Nur : 31]

Jelas tak ayat ni? Mudah ja "kawan-kawan". Aku nak cakap pasal tudung ja. Kalau dulu di sekolah menengah, pakai tudung sekadar ikut peraturan sekolah. Selepas habis sekolah, tudung hilang begitu sahaja.

Tak mau cakap banyak, paling senang pakai tudung atas dasar perintah Allah. Tak payah pakai tudung besar-besar dulu. Cukup pakai tudung sekadar tutup aurat. Kalau nak berubah ni, kena perlahan-lahan. Jangan terus pakai tudung labuh dan baju jubah, takut tidak istiqomah. 

Pakai tudung pun biar dengan cara yang betul, tidak jarang dan tidak nampak rambut. Pakai tudung mesti cukup syaratnya. Banyak tudung yang nipis sekarang ni, pelbagai fesyen dan kita perlu kreatif untuk menutup aurat terutama bahagian leher. Itupun aurat juga. Kena labuhkan tudung tu hingga ke paras dada, barulah cukup syarat.

Jangan biarkan aurat kita terdedah secara percuma "kawan-kawan". Tidak kesian kah pada ibu bapa kita? Ibu bapa akan dapat "saham" juga kalau "kawan-kawan" tidak jaga aurat. Ingat "kawan-kawan", mahar seorang ibu bapa adalah doa anak yang soleh/ah. Bagaimana kita mahu membela ibu bapa kita dari api neraka nanti apabila di perhitungan hari? Jangan pula kamu salahkan ibu bapa kerana tidak mendidik kamu dengan baik, tetapi salahkan lah diri sendiri.

Setelah pakai tudung dengan sempurna, cuba usahakan yang lain pula seperti pemakaian yang baik menurut Islam (tidak ketat dan sendat) dan pakai sarung lengan tangan dan stokin kaki. InsyaAllah, kalau ada usaha ke arah itu Allah akan pasti bantu "kawan-kawan". Biar sedikit asalkan istiqomah.

Alangkah indahnya jika kamu semua dapat bersama-sama dengan aku seperti mana ketika waktu sekolah menengah kita bersatu hati dalam menelaah pelajaran, makan sama-sama dan suka kenakan cikgu dalam kelas. Yang paling diingat, semasa kita bersatu hati tidak mahu ikut apa yang cikgu suruh buat kerana kita belum biasakan diri dalam keadaan tersebut namun setelah beberapa tempoh yang lama, akhirnya kita terpaksa juga menuruk kata-kata cikgu tu. Sampai sekarang, lihat hasilnya. "Kawan-kawan"ku dapat menyambung pelajaran seperti yang diingini. Syabas "kawan-kawan"!

Tapi lagi indah jika kamu semua berubah ke arah yang lebih baik kerana Allah. Aku hanya menyampaikan, selebihnya urusan kamu dengan Allah. Hanya Allah yang layak memberikan hidayah-hidayah kepada hambaNYA.

Diharap "kawan-kawan" tidak mengambil hati apa yang aku sampaikan. Jika ada yang terguris, aku minta maaf banyak-banyak. Tidak terniat untuk melukakan kamu semua tapi aku benar-benar sayangkan kamu semua. Aku tidak mahu aku seorang saja yang mahu berlumba-lumba ke syurga Allah tapi ingin juga ku bawa "kawan-kawan"ku bersama yang dahulunya sangat memahami diriku dan sehati sejiwa.

Moga Allah memberikan hidayah kepada kamu semua "kawan-kawan". Maafkan diriku andai terguris.

Ikhlas dariku,
Wardhatul Sakinah

Thursday, August 11, 2011

Penyu Berbuka


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk berada di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Bersyukur kerana Allah masih menyayangi diri ini. Allah berfirman yang bermaksud, 

Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, "sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari nikmatKu, maka pasti azabKu sangat berat."
[Surah Ibrahim : 7]



Sebelum mula, eloklah dulu bagi tazkirah (peringatan) sedikit kerana peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin seperti yang terkandung dalam kalam Allah,

Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin.
[Surah Az-Zariyat : 55] 


 يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا اسْتَعِيْنُوْا بِالصَّبْرِ وَ الصَّلاَةِ إِنَّ اللهَ مَعَ الصَّابِرِيْن

Wahai sekalian orang-orang yang beriman, kamu mintalah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah itu bersama orang-orang yang sabar
[Surah Al-Baqarah : 153]


Dalam ayat ini Allah s.w.t memerintahkan umat manusia untuk selalu meminta pertolongan kepada Allah s.w.t dengan cara bersabar dan menunaikan solat  dalam keadaan khusyuk. Sabar terbahagi kepada dua bahagian, Pertama: sabar ketika mendapat kesenangan, Kedua: sabar ketika mendapat kesusahan. Ketika menghadapi masalah, hendaklah kita kembalikan semua urusan kepada Allah s.w.t kerana Dialah sahaja yang menentukan kesemuanya.

Rasulullah s.a.w bersabada: “Sebagai kejutan bagi seorang mukmin, Allah s.w.t tidak akan menentukan sesuatu, kecuali Allah s.w.t lebih tahu tentang apa yang lebih baik baginya.”Sabar mempunyai tiga pengertian, Pertama: sabar untuk meninggalkan sesuatu yang haram, Kedua: Sabar dalam menunaikan ibadah dan kewajiban dan yang Ketiga: Sabar dalam menerima musibah dari Allah s.w.t. Semua musibah merupakan kehendak Allah s.w.t. telah disebutkan pula bahawa di sebalik kejadian yang menimpa, pasti terdapat hikmah yang sangat agung. (Al-Misbah Al-Munir Fi Tahzib Tafsir Ibnu Kasir 1999: 92-93).

Tatkala dilanda kesenangan dan kesusahan, jangan sesekali alpa kepada Allah kerana setiap saat Dia sentiasa memerhatikan tindak tanduk manusia. Ingatlah Allah banyak-banyak nescaya Allah akan mengingatimu.

Selesai terawih, kedengaran suara seorang lelaki berkata dengan nada yang agak marah di sebalik tabir bahagian lelaki, "Apa masalah kamu?! Apa masalah kamu?! Apa masalah kamu?!," berulang-ulang kali ayat ni ditanyakan.

Saya yang mendengar ni nak melihat sangat apakah yang berlaku sebenarnya. Setelah pergi melihat sebentar, rupanya budak-budak kecil berumur sekitar 6 - 8 tahun sedang dimarah. Gelak sendirian dalam hati melihat karenah budak-budak tu dimarah. Apa tidaknya, budak-budak tu kuat main ketika sidang jemaah sedang menunaikan solat terawih. Main mercun la, teriak sana sini dan banyak lagi yang mengganggu konsentrasi para jemaah solat. Terutamanya mercun. Ada sidang jemaah melatah tak tentu pasal. Astaghfirullah. Nasib baik mercun yang kecil, kalau yang besar? Habislah jemaah yang ada penyakit strok dan sakit jantung.

Setelah 30 minit budak-budak tu dimarah dan dinasihatkan, mereka pun pulang. Lelaki yang memarahi mengharapkan mereka tidak buat lagi pada keesokannya. Harap-harap macam itulah keadaannya. Budak-budak, kalau dimarah sekejap ja. Nanti datang balik 'penyakit' mereka. Perlu tahu teknik nak mendidik dengan cara yang betul agar mereka tidak buat perkara yang sama lagi. Memoir solat berjemaah di surau berdekatan rumah memang mengembirakan. Hampir dua tahun tidak solat di sini dek kerana sambung belajar. Alhamdulillah, cuti semester 3 bulan beri kesempatan sekali lagi untuk saya bersama-sama menunaikan solat jemaah terawih di sini.

Panjang lebar pula pengenalan kali ini. Bukan ini sebenarnya yang saya nak sampaikan, itu hanya sekadar perkongsian. Moganya ia bermanfaat untuk kita yang sering lalai dan lupa kepada Allah.

Sejak cuti semester ni, sinonim dengan nama "Hospital". Ya, kali ini di Hospital lain pula. Kalau sebelum ini, ibu dimasukkan di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu. Kali ini, bapa pula yang masuk hospital. Hospital mana? Hospital Kuala Penyu.

Perjalanan ke Kuala Penyu mengambil masa 2 jam lebih dari bandar Kota Kinabalu. Saya dan bapa bertolak pada 31 Julai 2011 dan tiba di hospital pada waktu matahari tergelincir (tengahari). Seperti biasa, 2 jam itu masa yang agak lama tetapi tidak disia-siakan begitu sahaja kerana Allah telah beri panduan dalam Kitab Al-Quran seperti berikut:

Yaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka."
[Surah Al-Imran : 191]

Ayat yang dihighlightkan itu doa apabila kita melihat ciptaan Allah sambil bermuhasabah. Syukran kepada naqibahku yang mentarbiyyah diri ini ke arah jalan yang betul. Walaupun tidak sehaluan tetapi kita membawa satu matlamat yang sama dan ukhuwah berpanjangan atas dasar aqidah. Amalkan ayat ini bila kita bermusafir atau bersantai melihat pemandangan agar jiwa ini sentiasa ingat kepada Allah.

Benda pertama yang saya lihat apabila tiba di perkarangan hospital adalah surau. Surau tu dinamakan Surau As-Syifa' PERKIPS cawangan Kuala Penyu. Cantik sungguh surau tu tapi malangnya saya tidak dapat mengambil gambar kerana tiada kamera.
Persimpangan ke Kuala Penyu

Hospital Kuala Penyu
Menurut staff nurse di sana, Hospital Kuala Penyu ini merupakan bangunan yang baru dibina. Dulunya ia hanya sebuah klinik di pekan dan kini klinik tersebut dinaiktaraf menjadi hospital dan berpusat lebih kurang 10 km dari pekan Kuala Penyu.

Sementara menunggu kemasukan bapa ke dalam wad, saya sempat menonton drama Ketika Cinta Bertasbih Special Ramadhan di ruang menunggu kecemasan. Tertarik dengan perbualan diantara Aprilia dan Eliana. Saya tidak ingat sangat dialognya, ingat perkara yang disampaikan sahaja. Jadi, dialog dibawah ini diubah suai sedikit berdasarkan mesej yang cuba disampaikan.

Aprilia : Eliana solat? Wah! Masakan Eliana artis yang cantik boleh solat ya

Husna : Iya, itu Eliana. Maniskan lihat artis sebegini solat deh

Eliana : (Selepas solat, mendekati Husna dan Aprilia). Assalamu'alaikum

Aprilia & Husna : Wa'alaikumussalam

Aprilia : Eliana, macam mana boleh jadi begini? Maksud Aprilia, solat dan taat ibadah?

Eliana : (Senyum kecil) Alhmdulillah, semua itu dari faktor persekitaran. Dahulunya, Eliana bukan begini. Eliana ini sosialis orangnya. Mujur ada sahabat-sahabat seperti Azzam dan Anna membimbing Eliana terus menerus. Kalau tidak, Eliana akan hanyut diarus dunia maksiat

Aprillia : Wah, hebat sekali ya perubahan Eliana. Mau minta tolong ni Eliana. Maksud guwe, kalau ada persoalan-persoalan yang Aprilia tidak tau mengenai solat atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Islam, bolekah Aprilia sms Eliana? Bisakah Eliana membalasnya?

Eliana : Ya, sudah semestinya boleh Aprilia. Tiada masalah (sambil tersenyum)

Berdasarkan dialog yang diubah suai ini, satu pesanan yang yang saya lihat adalah persekitaran mempengaruhi perubahan diri seseorang. Ya, memang benar. Saya juga sudah mengalaminya. Apa yang paling penting juga ialah pemilihan sahabat-sahabat sekeliling. Sahabat-sahabat sedikit sebanyak akan mencerminkan diri kita sebenarnya. Begitu indah sekali bila kita dikurniakan sahabat-sahabat yang baik yang dapat menasihati ke arah kebenaran dan paling manis bila kita berada dalam nikmat Islam. Bersyukurlah kerana dilahirkan sebagai seorang muslim tetapi pada hari ini ramai orang Islam tetapi sikitnya orang muslim. Islam hanya pada nama dan tidak menjadikan Islam itu sebagai cara hidup.

Setelah bapa dimasukkan wad, saya mengambil masa yang ada untuk bersiar-siar melihat sekitar hospital. Segala kemudahan masih baru dan suasananya seperti hotel. Sangat cantik! Ada taman permainan dan tempat sukan. Sekeliling hospital juga ada rumah bagi pelatih jururawat, kakitangan hospital dan doktor.

Tarikh pembedahan bapa pada 3 Ogos 2011 dan perlu masuk awal untuk memastikan segala tekanan darah dalam keadaan yang normal. Pada hari pembedahan, doktor memberitahu bahawa keputusan ujian darah bapa ada masalah sikit. Walaupun begitu, pembedahan tetap akan dijalankan namun ada beberapa konflikasi seperti luka pembedahan lambat sembuh dan akan mengalami bengkak dalam beberapa hari selepas pembedahan. Terlupa satu perkara. Bapa menjalani pembedahan kecil di bahagian pundi kencing yang mana usus kecil mula memasuki pundi kencing dan menyebabkan dua biji (bahagian kemaluan lelaki) semakin membesar dan boleh menyebabkan kematian jika semakin membesar.

Alhamdulillah, 2 jam dalam bilik pembedahan bapa selamat menjalani pembedahan cuma tidak boleh bergerak seperti biasa kerana takut bahagian yang dibedah akan terbuka kembali. 

Kali ini, saya sambut ramadhan di hospital Kuala Penyu buat pertama kalinya dan juga merupakan kali ketiga menyambut ramadhan luar rumah. Tiga tahun lepas ramadhan di matrikulasi dan dua tahun berikutnya di UMS. Walaupun berbeza tempat, nikmat ramadhan itu ada dan manis kerana merasai pelbagai cara menyambut ramadhan.

"Penyu Berbuka" saya namakan kerana inilah kali pertama saya berbuka puasa di Kuala Penyu. Dan buat pertama kalinya juga saya solat terawih di Surau As-Syifa' bersama kakitangan hospital, staff nurse dan para doktor. Memang ada kebaikannya kalau menyambut ramadhan di tempat berbeza. Kenikmatan itu semakin bertambah bersyukur menghadap Allah SWT. 

Pengalaman manis juga melihat gelagat para doktor dan jurulatih jururawat beraksi sepak takraw pada waktu malam dan bola jaring di waktu petang. Agak kelakar bila meilhat mereka bertanding dan bermain sesama sendiri. Ada yang tidak reti main tapi buat-buat tahu sahaja. Doktor-doktor, siap main dengan kot baju putih lagi.

Hampir seminggu kami berada di hospital dan bapa dibenarkan balik pada hari Jumaat 5 Ogos 2011, alhamdulillah selamat tiba di rumah. Dan, kini bapa sedang rehat di rumah. Tidak boleh melakukan kerja yang terlalu berat khususnya. Penyakit yang dialami bapa sering menjangkiti lelaki yang suka mengangkat barang-barang yang berat. Apapun, tempat yang dibedah mengambil masa 2 bulan untuk sembuh sepenuhnya.

Moga bapa sembuh secepat yang mungkin. Begitu juga ibu yang masih sakit tidak berhenti. Moga Allah berikan kekuatan untuk menghadapinya dengan penuh sabar.

Doa Menghadapi Kesulitan dalam Kehidupan


Dengan menyebut nama Allah kepada diriku, hartaku dan agamaku. Ya Allah, berikanlah keredhoan kepada diriku agar boleh menerima takdir-Mu dan berkatilah aku dalam perkara yang telah engkau takdirkan padaku supaya aku tidak akan mudah untuk menyegerakan takdir yang masih Engkau tangguhkan dan aku tidak akan mudah untuk menangguhkan takdir yang telah Engkau datangkan lebih cepat. (Imam Nawawi (2009: 245) Al-Azkar)

p/s: Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mengucapkan ulangtahun kelahiran saya yang kali ke-22 pada 2 Ogos 2011. Saya tidak mengharapkan apa-apa hadiah yang mahal atau pun istimewa. Hanya doa saja yang saya perlukan sebagai hadiah yang paling bernilai dan berharga!