Friday, July 29, 2011

Welcome Ramadhan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Di sebuah rumah yang kecil dan sederhana, satu keluarga duduk bersama-sama sambil mata tertumpu di hadapan televisyen.

"Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Bagi menyempurnakan titah-titah Sri Paduka Yang di Pertuan Agong setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja maka dengan ini mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Isnin 1 Ogos 2011 Masihi bersamaan 1 Ramadhan 1432 Hijrah. Sekian. Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh." 

(Disampaikan oleh YM Engku Tan Sri Dato' Sri Ibrahim bin Engku Ngah, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia. Ayat-ayat ini diolah dari video pengumuman puasa 2010)


Selesai pengumuman, mereka sekeluarga bersurai kecuali seorang bapa yang masih setia meneruskan menonton berita. Manakala ibunya memanggil semua anak-anaknya sambil berpesan,



"Lusa dah nak puasa. Harap semua anak-anak mak bersedia dan sabar mengerjakannya. Untuk Syauqah, tiada lagi puasa setengah hari. Belajar pula puasa penuh. Ni la medan latihan untuk menghadapi Ramadhan akan datang lagi. InsyaAllah."

"InsyaAllah mak, kami akan cuba yang terbaik. Syauqah, dengar tu. Akak akan pantau puasa Syauqah kali ini. Tiada lagi buka puasa selepas waktu Zohor," kata Kak Sue sambil mengusik adiknya yang baru berusia 7 tahun.

Begitulah suasana sebuah keluarga yang sederhana dalam menghadapi Ramadhan yang bakal mendatang.

Tiada istilah puasa setengah hari sebenarnya tetapi itulah satu di antara kaedah yang digunakan untuk melatih anak-anak yang belum kenal erti puasa sepenuhnya.

Bila sebut tentang puasa, adakah kita sudah mempersiapkan diri sepenuhnya?

Bagi yang sudah, alhamdulillah. Kepada yang belum, masih ada masa lagi. Revise semula mengenai puasa, boleh rujuk sini. Baca dan faham.

Dalam Al-Quran, Allah berfirman:

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
[Surah Al-Baqarah: 183]

Syariat puasa telah ada pada zaman nabi dahulu lagi. Maka, tidak ada lagi alasan untuk meninggalkan puasa tanpa sebab-sebab yang dibolehkan.

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, tinggalkan sifat syaitan iaitu membazir. Jangan ikutkan nafsu semata-mata. Bersederhanalah dalam segala perkara.

Banyakkan amal ibadah seperti qiyamullail, solat sunat, tadarus Al-Quran, berzikir dan banyak lagi. Jangan lupa untuk berniat, ikhlaskan diri kerana Allah.

Semoga ramadhan kali ini dapat memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Salam Ramadhan!

Friday, July 22, 2011

Jundiyatullah Smart Circle (JSC) 1

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


TAZKIRAH

Dan Allah menumbuhkan kamu dari tanah, tumbuh (beransur-ansur), kemudian Dia akan mengembalikan kamu ke dalamnya (tanah) dan mengeluarkan kamu (pada hari Kiamat) dengan pasti.
[Surah Nuh : 17 - 18]

Malaikat dicipta daripada cahaya, manakala syaitan pula dicipta daripada api. Allah telah memberitahu dalam Al-Quran bahawa akan ada makhluk yang lebih mulia daripada syaitan/iblis iaitu manusia. Manusia dicipta daripada tanah dan tugas utamanya adalah sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi kepunyaan Allah dan juga beribadah kepada Allah. Di mana manusia dicipta di situ lah ia dikembalikan. Persiapkan diri secukupnya untuk bekalan di akhirat nanti. Bertaubatlah sementara pintu taubat masih terbuka. Muhasabah diri, mati ditangan Allah. Bila Allah kehendakiNYA, tiada siapa yang boleh menangguhkannya.


AYAT PILIHAN

Adakah kamu menyuruh orang lain melakukan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri. Padahal kamu membaca Al-Kitab. Apa tidakkah kamu berakal?
[Surah Al-Baqarah : 44]

Hai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu katakan apa yang tidak kamu lakukan. Amat besar kemurkaan Allah, kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan.
[Surah As-Saff : 2 - 3]

Da’i dituntut supaya memperhitung (kesalahan) dirinya terlebih dahulu sebelum memperhitungkan kesalahan orang lain. Ia dituntut supaya mendidik dirinya lebih dahulu sebelum mendidik orang lain. Ia patut berlaku ihsan terhadap dirinya sebelum berlaku ihsan kepada orang lain.
Inilah intisari pesanan ‘Ali Ibnu Abi Talib Karramallahu Wajhah apabila ia berpesan:

Sesiapa yang menjadikan pemimpin orang lain, maka hendaklah ia mulai dengan mengajar dirinya sendiri sebelum mengajar orang lain. Asuhannya terhadap orang lain biarlah dengan perilaku sebelum tutur kata. Orang yang mengajar dan mengasuh diri sendiri lebih berhak dimuliakan/dihargai dari orang yang mengajar dan mengasuh orang lain.

Rasulullah pernah menceritakan nasib manusia yang mengatakan apa yang tidak dikotakan. Yang menyuruh orang berbuat baik tetapi melupakan diri sendiri. Yang menjadikan diri sebagai pembimbing sedangkan diri sendiri tidak terbimbing. Yang menyuruh orang lain beristiqomah sedangkan dirinya sendiri menyeleweng. Rasulullah S.A.W mengatakan:

Pada hari Kiamat kelak akan dicampakkan orang berkenaan dalam api neraka lalu terburai perutnya. Ia berputar-putar di dalamnya persis seperti keldai mengelilingi kincir pengisar gandum. Penduduk neraka berkerumun melihatnya. Mereka berkata : “Si fulan rupanya. Bukankah engkau dahulu menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar?” “Benar”, jawabnya. “Tetapi aku menyuruh yang baik sedangkan aku sendiri tidak melakukannya.”

Inilah juga yang disyaratkan oleh Rasulullah S.A.W dengan sabda baginda:

Pelajarilah apa sahaja yang kamu boleh belajar. Akan tetapi Allah tidak akan member ganjaran sehinggalah kamu amalkan (apa yang kamu pelajari).


HADITH: PAHALA AMAL BERGANTUNG KEPADA NIAT

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsah, Umar bin Al-Khattab r.a berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan sampai kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan diperolehinya atau menuju wanita yang hendak dinikahinya, dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya.”

(Riwayat al-Bukhari no. 1, 54, 2529, 3898, 5070, 6689, 6953, Muslim no. 1907, Abu Daud no. 2201, al-Tarmizi no. 1646, al-Nasa’i no. 1/59-60, VI/158, Ibn Majah no. 4227 dan Ahmad no. 1/25, 43)


Huraian dan Inti Sari

Pertama
Dalam hadith ini disebutkan kalimah “Diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya.” Yang dimaksudkan dengan amal di sini ialah semua jenis amal yang dibenarkan syariat. Maksudnya, segala jenis amal yang dibenarkan syariat yang dilakukan tanpa niat, menjadi tidak bernilai apa-apa menurut agama. Misalnya wudhuk, mandi wajib, tayammum, solat, zakat, puasa, haji, iktikaf dan ibadah-ibadah lain.

Amal yang tidak memerlukan niat:
#Meninggalkan perbuatan yang haram
#Mengembalikan barang pinjaman
#Membersihkan diri daripada najis kerana perbuatan ini termasuk perbuatan menghilangkan barang yang tidak baik
#Menyampaikan pemberian atau hadiah orang

Jika berniat juga maka dapat pahala dan menghampirkan diri kepada Allah.

Bagaimanapun, ada segolongan ulama yang berpendapat bahawa wudhuk dan mandi tetap sah sekalipun tanpa niat. Ini kerana para ulama berbeza pendapat tentang maksud kalimah tersebut.
Sebahagian memahami niat itu sebagai syarat, iaitu amal itu sah hanya apabila disertai niat dan sebahagian yang lain memahami niat itu sebagai penyempurna.

Maksudnya amal itu menjadi sempurna apabila disertai niat.


Kedua
Kalimah “Sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya” menurut khathabi menunjukkan pengertian yang berbeza daripada sebelumnya, iaitu menegaskan bahawa sah atau tidaknya amal itu bergantung kepada niatnya.

Juga Syeikh Muhyidin al-Nawawi menerangkan bahawa niat itu menjadi sah sesuatu amal.

Sekiranya seseorang mengqadai solatnya yang telah luput, dinilai tidak sah tanpa niat qada. Juga dia harus berniat jenis solat sama ada solat Zohor, Asar atau lain-lain. Sekiranya kalimah kedua di atas menetapkan pengertian seperti yang pertama, nescaya dibenarkanmencukupkan niat tanpa mengkhususkan perbuatannya, atau asal sudah berniat solat sahaja.

Ketiga
Berhubung kalimah “Sesiapa berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan sampai kepada Allah dan RasulNya,” ahli bahasa Arab menetapkan bahawa kalimah “syarat dan jawabnya”, begitu juga “mubtada”(subjek dan khabar (predikat)” haruslah berbeza. Sedangkan dalam kalimah di atas ternyata kedua-duanya sama.

Kerana itu, kalimah syaratnya bermakna niat atau maksud, baik secara bahasa mahupun syariat.

Maksudnya, sesiapa berhijrah dengan niat kerana Allah dan RasulNya, maka akan mendapat pahala daripada hijrahnya kepada Allah dan RasulNya itu.
Hadis ini turun kerana seorang lelaki yang mengikut Rasulullah berhijrah dari Mekah ke Madinah kerana ingin mengahwini seorang perempuan bernama Ummu Qais. Dia berhijrah tidak untuk mendapatkan pahala hijrah. Kerana itu dia digelar Muhajir Ummu Qais.

Keempat
Perbuatan yang di luar lingkungan ibadah iaitu perbuatan yang menjadai tabiat hidup manusia seperti makan, minum, tidur dan sebagainya turut mendapat pahala jika diniatkan untuk memelihara tubuh badan supaya dapat beribadah.

Kelima
Imam Nawawi membahagikan amal ibadah kepada tiga:
1. IBADAH HAMBA: Ibadah orang yang takut kepada Allah
2. IBADAH SAUDAGAR: Ibadah oaring yang hendak mendapatkan syurga dan pahala 
3.IBADAH MERDEKA: Ibadah yang sebenar kerana menunaikan tanggungjawab, rasa syukur dan berasa malu kepada Allah

Keenam
Kita hendaklah ikhlas dalam amal ibadah dan setiap pekerjaan agar mendapat kemudahan dan kebahagiaan di dunia dan mendapat pahala di akhirat.

                          “ADAT MENJADI IBADAT MELALUI NIAT”                         


BAHAGIAN PERTAMA

RINTANGAN PERJUANGAN DALAM KEHIDUPAN

A)Orang mukmin yang dengki kepadanya
B)Orang munafiq yang benci kepadanya
C)Orang kafir yang memeranginya
D)Syaitan yang menyesatkan
E)Nafsu yang merangsangkan

A)Orang Mukmin Yang Dengki Kepadanya

Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu; iaitu hasad dengki dan permusuhan. Permusuhan tersebut ialah pengikis atau pencukur. Saya tidak maksudkan ia mencukur rambut, tetapi yang saya maksudkan ialah ia mengikis agama.
[Hadith Riwayat Al-Baihaqi]

Tujuh faktor yang menyebabkan hasad dengki,

Di dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali r.a ada disimpulkan sebab-sebab yang menimbulkan perasaan hasad dengki tersebut.

1.Perasaan Permusuhan dan Kebencian

Ini adalah sebab yang paling banyak menimbulkan kedengkian.
Kerana sesiapa yang telah disakiti oleh seseorang lain atas sebab-sebab tertentu atau menyangkalnya dalam tujuan-tujuan tertentu lantaran alas an-alasan tertentu, hatinya pasti marah lalu membenci. Orang yang menyakitinya itu, maka tertanamlah bibit dengki dalam dirinya. Dengki mengundang perlakuan yang agresif untuk memuaskan hatinya.

Pendekatan perasaan hasad dengki sentiasa bergandingan dengan perasaan marah dan permusuhan.

2.Merasa Diri Mulia

Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu merasa keberatan kalau ada sesiapa yang dianggapnya mengatasi dirinya. Dia tidak rela kalau ada orang lain melebihinya. Kalau ada orang-orang sepertinya yang mendapat lebih pangkat, kuasa, ilmu dan harta, dia bimbang kalau-kalau orang tersebut akan bersikap takabbur terhadapnya. Dia tidak boleh tahan dengan sikap mengatasi yang ditunjukkan oleh saingannya itu. Malah ia mengatasinya.

3.Takabbur

Jelasnya seseorang itu mempunyai watak membesarkan diri terhadap orang lain, selalu memprkecilkan dan memprhambakan seseorang. Ia menganggarkan seseorang itu mematuhinya. Apabila orang berkenaan menerima atau memperolehi sesuatu kurnia ia khuatir kalau-kalau oarng itu tidak dapat lagi merelakankepongahannya. Akhirnya orang yang telah mendapat kurnia itu akan enggan mengikutinya. Atau boleh jadi ia menganggap orang tersebut akan cuba pula menyainginya.

4.‘Ujub

Pernah Allah jelaskan kepada kita perihal umat-umat di zaman silam. Mereka merasa ta’jub dengan diri mereka sendiri. Hal ini menghalang mereka menurut kebenaran. Hujah mereka selalunya seperti berikut

Bukankah kamu tak lebih dari manusia (biasa) seperti kami juga?

Dan ungkapan yang berbunyi

Dan mereka berkata adakah wajar kami mempercayai manusia yang seperti kami juga?

Golongan tersebut merasa aneh melihat orang yang berjaya mendapat pangkat kerasulan, menerima wahyu dan martabat yang dekat di sisi Allah ialah manusia seperti mereka. Sebab itu mereka menaruh rasa dengki kepada rasul-rasul tersebut.

5.Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan

Perasaan ini wujud dalam kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Tiap orang akan merasa dengki apabila saingannya mendapat suatu kelebihan yang boleh membantu dirinya sahaja membolot habuan yang menjadi tujuan mereka tadi.

6.Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti

Umpamanya sesorang yang bercita-cita untuk menjadi manusia pertama yang tidak ada tolok bandingannya dalam salah satu cabang seni. Apabila keghairahan terhadap pujiandan jolokan bahawa dialah satu-satunya pakar yang tidak ada taranya di zaman itu telah menguasai dirinya, tiba-tiba dia mendengar ada orang lain yang dapat menandinginya di tempat lain. Hal ini nescaya akan menyusahkan hati perutnya. Ia bercit-cita kalau tiada tandingannya itu mati sahaja atau kemahirannya menurun dan pupus.

7.Busuk hati

Keadaan ini kalau ada pada seseorang maka ia akan bersikap tidak suka seseuatu kebaikan diperolehi oleh hamba Allah yang lain. Apabila disebutkan di hadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, sempit hatinya mendengar hal tersebut. Akan tetapi apabila dinyatakan pula sebaliknya, umpamanya tentang kekacauan, kegagalan dan nasib malang menimpa orang lain maka ia merasa gembira dan suka hati.

Bagaimana menghadapi pendengki

1)Sentiasa bersabar menunaikan solat
2)Menguasai sifat amarah yang ada pada diri
3)Bersikap akhlak yang mulia


Sumber:
1. Hadis 40 Imam Nawawi
2. Bahtera Penyelamat 


WardhatulSakinah,
Khas buat adik-adik usrah yang tersayang.
Di mana bumi dipijak, di situ hukum Allah dijunjung.
"Fathul Thariq Ila Mahabbah"

Thursday, July 21, 2011

MAAF!!!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Ke arah satu perjalanan
Dalam sebuah kehidupan
Demi untuk mengecapi
Hasrat murni di dalam hati

Usaha dengan doa itu
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya hati di terang
Tunjukkan jalan
Seandainya hilang
Tegakkan perjalanan
Yang bakal ditempuhi

Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisimu ku berserah
Terimalah aku
Hamba mu Allah

Sekiranya takdir menguji
Cekalkan hasrat di hati
Semoga kesusahan bias
Mengajar erti  terus azam

Usaha dengan doa
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya hati di terang
Tunjukkan jalan
Seandainya hilang
Tegakkan perjalanan
Yang bakal ditempuhi

Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisimu ku berserah
Terimalah aku
Hamba mu Allah


HambaMu dendangan Mawi dan Akhil Khayy telah dipilih sebagai lagu tema program Kem Remaja Islam (KRIS) Kota Kinabalu yang telah berlangsung pada 3 hingga 5 Jun 2011 di Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang. Lebih lanjut mengenai KRIS di sesawang PSS KK. Alhamdulillah, program ini telah berlangsung dengan jayanya. Kali ini, saya telah diamanahkan sebagai ketua unit penyertaan, pendaftaran dan kebajikan. Walau pun gerak kerja agak mula lambat berikutan sibuk dengan persiapan peperiksaan kampus ketika itu, adik-adik Kelab Remaja Ukhuwah (KRU) menghulurkan tangan untuk bersama-sama memikul tugas yang diberikan. Syabas dan tahniah kepada semua ajk yang telah berjaya melaksanakan KRIS dengan baik! Kenangan bersama tidak akan dilupakan dengan begitu sahaja, akan disimpan dalam ingatan untuk terus istiqomah di medan dakwah.

Gerai Jualan di Tabung Haji
"Salam dik, awal bulan 6 ni kak buka gerai jualan di Tabung Haji. Blh bantu kak tlg jaga gerai? Setiap hujung minggu ja. Nati kak tlg temankan dan ajarkan sekali, jgn risau ya..Blh?.."Wa'alaikumussalam kak, maaf sgt2 kak..xdapat p..ibu masih di hospital"

Tadika Pasti
"Salam dik, Tadika Pasti perlukan tenaga pengajar untuk mengajar mengaji. Harinya dari Isnin hingga Jumaat, setiap malam. Tempat tinggal di Tadika Pasti. Sepanjang cuti adik selama 3 bulan ni ja, nak x?".."Wa'alaikumussalam kak, asif x dapat nak tlg. Jaga ibu dan malam susah sikit nak kuar dari rumah"

Jelajah Dakwah Sekitar Kota Kinabalu
"assalamualaikum pren, nak join Jelajah Dakwah x? 26 Jun hingga 10 Julai ni..klu berminat tlg respon ya..10 org peserta muslimat dari ums diperlukan"..saya respon, "Wa'alaikumussalam..syukran atas jemputan..malangnya sy x dapat p..insyaAllah, program akan datang sy cuba usahakan untuk libatkan diri..semoga segala urusan dipermudahkan oleh Allah"

Kem Remaja Cemerlang (KRC)
Dalam chat fb, seorang kakak telah menghantar chat.." p x KRC minggu ni? Pengarah minta akak jadi ajk makanan. Jom p, bantu akak sekali blh?"..saya membalasnya, "maaf kak, x dapat p"

"assalamualaikum..pren..kmu mo p KRC ka? hujung minggu ini kat Masjid UMS..jumaat hingga ahad.. =) "..mesej dari seorang sahabat seperjuangan...dan saya membalasnya kembali, "wa'alaikumussalam...x dapat p.."

Selepas program Minggu Pengurusan Pelajar Baru (MPPB) Kolej Matrikulasi Labuan dan KRIS KK, mesej-mesej di atas tadi lah yang sering memenuhi inbox untuk program seterusnya. Betapa sedihnya hati ini tidak dapat melibatkan dan membantu apa yang boleh. 

Apabila mendengarkan lagu HambaMu, teringat kembali gerak kerja KRIS baru-baru ini. Dan pada masa yang sama, hati sangat sedih kerana tidak dapat megikuti sebarang program yang seterusnya. Sebelum cuti semester, banyak aktiviti yang telah saya aturkan agar terus istiqomah dalam dakwah khususnya tetapi segala-galanya tidak dapat dilaksanakan. Kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan. 

Sebaik-baik perancangan itu datangnya dari Allah. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNYA. Ya Allah, betapa rindunya hati ini untuk bergerak kerja Islam. 

Dan ingatlah bahawa semua ini hanya sementara. Saya yakin dan pasti akan bangkit semula. Bila ada peluang nanti, saya akan usahakan sebaik-baiknya untuk membantu dakwah Islam.

Kepada sahabat-sahabat seperjuangan, maaf kerana tidak dapat bersama-sama untuk berjuang. Harap dapat memahami keadaan dan situasi yang saya alami sekarang. 

Teruskan berjuang! Doaku sentiasa mengiringi...

Wednesday, July 20, 2011

Pengalaman Di Hospital

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum...


Rasulullah bersabda: “tidak ditimpa seseorang muslim itu daripada kepenatan, kesakitan, dukacita, kebimbangan, penderitaan, kesedihan dan tusukan duri sekalipun melainkan dengan perkara tersebut Allah menjadikannya sebagai kiffarah terhadap kesalahan-kesalahannya.”


Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam shahinya dalam Kitab (Al-Maradh) & Imam Muslim dalam kitab (Al-Birr) daripada Abu Said & Abu Hurairah Radhiallahu Anhuma

7 JUN 2011, Ibu sekali lagi mengadu sakit perut yang teruk...Seperti biasa, tanpa berlengah-lengah lagi bapa saya mengajak untuk menghantar ibu ke hospital..Kebiasaannya, ibu berada di wad kecemasan dalam jangka masa yang pendek tapi kali ini agak lama sikit.

Seperti sebelum-sebelum ini, ibu dah banyak kali masuk keluar hospital..Kalau sudah dikeluarkan dari wad, dalam 2 hingga 3 hari begitu ibu kembali sakit...dan menjadi perkara biasa untuk menghantar balik ke hospital..kenapa? Ini kerana hanya itu ja yang boleh mengurangkan sedikit kesakitan yang dialaminya walaupun dalam jangka masa yang pendek..walaupun begitu, sakit ibu saya masih belum sembuh-sembuh lagi sejak 2009.

Sebagai seorang anak, adalah menjadi tanggungjawab untuk menjaga sebaik mungkin dan berusaha selagi masih ada waktu..doa sahaja tidak memadai jika tidak diiringi usaha.

''USAHA + DOA + TAWAKKAL + IKHTIAR"

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).
[Al - Imran : 200]

Sewaktu pertama kali ibu mengalami sakit gastrik yang kronik, ibu berada di hospital selama 3 bulan lebih. Ketika itu, kesihatan ibu masih boleh diselamatkan. Semua doktor berusaha mencari punca kenapa gastriknya tidak berhenti walaupn diberikan ubat penahan sakit. Ubat penahan sakit itu hanya tahan sementara sahaja, dalam beberapa jam kemudian sakit gastriknya kembali menyerang. Walaubagaimanapun, ibu minta keluar hospital atas alasan kesihatannya semakin bertambah baik. Beberapa minggu kemudian, sakitnya datang balik. Sejak dari hari itu, kami sekeluarga ulang alik dari rumah ke hospital sehinggalah sekarang.

Akibat tidak terlalu tahan kesakitan yang dialami oleh ibu, akhirnya ibu minta dibedah. Minta pihak hospital buang bahagian yang menjadi punca kepada kesakitan tersebut. Sebelum permintaan ibu itu ditunaikan, kami sekeluarga bawa berubat kampung. Malangya, keputusannya tetap sama. Dah pelbagai cara kami cuba untuk bantu ibu tapi masih tidak berjaya. Kadang-kadang, putus asa dibuatnya. Terasa penat dan letih. Bila difikir dan muhasabah semula, semua itu adalah ujian dari Allah.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diiuji? Dan sungguh, kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengatahui orang-orang yang dusta."
[Al - Ankabut : 2 - 3]

Ya! Memang benar, Allah sedang menguji hambaNYA! Allah ingin uji sejauh mana iman kita bila ditimpa musibah. Kalau nikmat dikurniakan, semestinya hamba ini selalu lalai kepadaNYA tapi bila musibah ditimpa barulah ingat Allah. Astaghfirullah...ada hikmah disebaliknya terhadap semua yang berlaku kepada saya sekarang ini.

Setelah berusaha membawa ibu berubat kampung, akhirnya ibu perlu juga menerima rawatan di hospital. Kurang dari seminggu saya baru balik dari kampus untuk bercuti semester selama 3 bulan, ibu dikejarkan ke hospital pada 7 Jun 2011 selepas asar. Ibu ditahan di wad pada 8 malam kerana doktor mengesahkan keadaannya agak kritikal.

Minggu pertama di hospital, macam-macam telah berlaku. Antaranya, saya melihat dua buah kenderaan jenazah dihantar ke hospital queen pada 12 malam. Innalillah..Ketika itu, ibu telah tidur dan saya membawa diri ke koridor untuk melihat pemandangan langit malam tapi apa yang dilihat dua buah jenazah diangkat ke kereta jenazah tersebut. Hati ini sangat takut dan kembali ke katil ibu untuk melihat keadaannya. Subuhnya, saya mendoakan agar ibu dalam keadaan yang baik. Perkara lain yang berlaku pada minggu itu, semua rekod perubatan ibu hilang. Yang hanya tinggal gambar X-ray. Disebabkan kehilangan beberapa rekod perubatan (buku rawatan, gambar2 scan dan macam-macam lagi yang wajib dipegang oleh keluarga pesakit), banyak ujian-ujian terpaksa dibuat semula untuk mengetahui apa kes ibu sebenarnya. Sementara menunggu keputusan ujian-ujian tersebut, pihak hospital juga sedang menunggu case notes ibu dari jabatan rekod perubatan. Dalam tempoh minggu tersebut juga, doktor ada mengatakan bahawa buah pinggang ibu merosot. Perlu cuci darah tapi bergantung terhadap prestasi ibu sepanjang berada dalam wad. Minggu ke-2, kami dipindahkan ke wad perempuan 2 di atas bukit.

Minggu kedua dalam wad, seorang lagi telah meninggal dunia. Ianya seorang perempuan. Nampak masih muda, boleh dipanggil kakak. Kakak tu sebelah katil ibu saya. Hati ini semakin takut apabila ada 2 orang telah meninggal dunia sejak saya menemani ibu di hospital selama dua minggu. 

"SETIAP BENDA YANG BERNYAWA PASTI AKAN MATI"

http://syukran.files.wordpress.com/2010/02/mati-yang-pasti.png

Itulah hakikatnya. Bila Allah telah tetapkan, tidak boleh ditangguh. Kematian itu pasti!

Sepanjang menjaga ibu di hospital selama 2 minggu, banyak yang saya fikirkan. Adakah ini satu petanda dariNYA? Macam-macam difikirkan.

Bila ibu tidur dengan lena, disitulah saya ambil masa untuk berfikir. Saya yakin ada hikmahnya.
Setiap hari saya berdoa agar saya dapat membalas jasa ibu selagi masih bernyawa. Mungkin ini adalah satu daripadanya. Ada hikmahnya cuti semester 3 bulan. Sekurang-kurangnya saya meluangkan cuti ini dengan menjaga ibu yang dalam keadaan sakit kuat. Ada hikmahnya juga ibu dihantar ke hospital. Kalau tidak dihantar, mana mungkin saya tahu sejauh mana tahap kesihatannya. Sebelum ini saya hanya tahu ibu memang ada penyakit kencing manis, darah tinggi, tibi dan kronik gastrik(punca utama masuk hospital). Penyakit kencing manis, darah tinggi tidak terlalu teruk sebelum masuk hospital kali ini. Dalam keadaaan yang terkawal. Untuk tibi pula, masih tidak dapat dikesan kerana buku rawatannya telah hilang. Doktor mengesahkan ianya bukan tibi yang aktif. Masih dalam rawatan.

Untuk kemasukan ibu di hospital kali ini, doktor cakap penyakit kencing manis dan darah tinggi tidak normal. Perlu diberi perhatian dari semasa ke semasa.

Masuk minggu ketiga, lebih menakutkan. Doktor cakap kesihatan ibu semakin teruk. Tekanan darah terlalu tinggi, gula dalam darah tidak terkawal (cepat turun dan naik). Saya mula perasan yang ibu mudah cepat sesak nafas dan sakit kepala. Semua itu tanda-tanda yang sangat kritikal. Ditambah lagi sakit kronik gastrik yang tidak menentu (on off pain) makin menjadi-jadi teruk kesihatan ibu saya. Pada minggu itu juga, doktor sahkan ibu ada penyakit buah pinggang tahap 5. MasyaAllah! Sukarnya untuk saya menerima kenyataan ini.

Sejak saya tahu mengenainya, saya pertingkatkan lagi usaha doa. Bukan setakat doa tapi juga guna rawatan Islam. Saya minta seorang ustaz yang saya kenali untuk merawat ibu saya. Ustaz tu cakap, ibu mesti pandai jaga makanan. Ibu tiada kena buatan orang atau gangguan jin/syaitan. Semua itu berpunca daripada pemakanan. Emm...bila sebut pasal pemakanan, ibu saya jenis orang yang degil sikit. Suka makan ikut suka hati dia ja (bukan nak perburukkan). Anak-anak sendiri dia tak nak dengar apalagi saudara mara yang terdekat. Susah nak pujuk pasal makanan ni.

Minggu ke-4, ibu minta keluar dari wad. Alasan, nak tengok pernikahan kakak. Semuanya perancangan Allah. Di saat kakak saya membuat persiapan kahwin, ibu sakit kuat. Masa itulah ibu nak keluar sangat dari wad. Mulanya, doktor tidak benarkan kerana keadaannya yang begitu kritikal tetapi atas ibu saya sanggup tanggung risiko doktor luluskan. Akhirnya, ibu saya keluar wad pada 7 JULAI 2011. Genap 1 bulan kami di hospital tapi hati saya tidak tenang kerana ibu keluar dalam keadaan yang tidak sihat. Sangat bahaya.

Setelah keluar dari wad, ada beberapa temujanji yang ibu perlu pergi tetapi sejak tinggal di rumah, 3 temujanji ibu tidak mahu pergi. Semasa itu, keluarga dari tawau masih ada di rumah. Memandangkan ibu tidak mendengar nasihat dari anak-anak sendiri, keluarga terdekat cuba memujuknya namun gagal juga.

Beberapa hari kemudian, saya masih mencari jalan untuk memujuk ibu pergi temujanji yang paling penting iaitu klinik nefrologi(buah pinggang). Alhamdulillah, makcik kepada kawan saya mengalami penyakit yang sama dengan ibu saya, cumanya makcik tu tiada penyakit kencing manis. Makcik tu sudah 6 tahun dialisis. Menurut kawan saya, sejarah perubatan makciknya serupa dengan kes ibu saya. Dengan rasa baik hati, kawan saya menolong ibu dengan cara mengajak makciknya pergi ke rumah saya. Setibanya di rumah, makcik menceritakan segala-galanya apa yang telah dia lalui. Setelah ibu mendengar, ibu buat keputusan untuk pergi dialisis. Alhamdulillah, 1 keputusan yang sangat bijak tapi masih ada kerisauan. Masa boleh mengubah keputusan secara tiba-tiba. Harapan saya, keputusan ibu perlu dikekalkan dan diteruskan. Menunggu pada 27 Julai 2011(temujanji untuk dialisis peringkat pemasangan), harap semuanya berjalan dengan lancar.

Begitulah kisah pengalaman berada di hospital selama sebulan, diselitkan juga kisah-kisah yang ada kaitan dengannya.

Sebagai tambahan, semasa cuti ini terlalu banyak ujian yang saya hadapi. Antaranya, laptop dan handphone rosak. Yang menyedihkan, semua data-data dalam laptop tidak dapat diselamatkan, diganti dengan yang baru. Sepatutnya, saya mula membuat tesis setelah cuti bermula tetapi perancangan Allah lebih baik. Saya yakin, Allah telah merancang dengan sebaik-baiknya. Bukan ibu saja yang sakit tetapi bapa juga turut sakit pada masa yang sama. Bapa perlu menjalani pembedahan secepat yang mungkin kerana ususnya mula memasuki pundi kencingnya. Jika ini berlaku, boleh menyebabkan kematian.

Ya Allah, beratnya ujian ini...semuanya berlaku dengan pantas..

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..."
[Al - Baqarah : 286]

Ayat inilah sedikit membantu memotivasikan saya tiap kali ujian menimpa. Apapun, saya kena yakin bahawa setiap ujian itu pasti ada hikmahNYA. Ujian itu tanda kasih sayang kepada hambaNYA.

Mengimbau kata-kata para sahabat, bila kita diamanahkan sesuatu tanggungjawab(dirahsiakan) Allah pasti akan uji IMAN. Mungkin benar, menjadi P_ _ _ _ _ _ N bukanlah suatu yang kita banggakan tetapi untuk Allah bagi peluang perbaiki diri dan Allah mahu tutup aib.

Semoga Allah beri kekuatan untuk saya hadapinya dengan sabar dan tabah.

Kesenangan yang datang
Tak akan selamanya
Begitulah selepas susah ada kesenangan
Seperti selepas malam datangnya siang
Oleh itu waktu senang jangan lupa daratan
Gunakan kesempatan untuk kebaikan
Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa guna sesalan hanya menekan jiwa

Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada tuhan
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali
Ujian adalah tarbiyah dari Allah
Apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang dating selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari tuhan
[In team & Nazrey - Kehidupan]


Kredit tKamarudin Toyo