Wednesday, July 20, 2011

Pengalaman Di Hospital

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum...


Rasulullah bersabda: “tidak ditimpa seseorang muslim itu daripada kepenatan, kesakitan, dukacita, kebimbangan, penderitaan, kesedihan dan tusukan duri sekalipun melainkan dengan perkara tersebut Allah menjadikannya sebagai kiffarah terhadap kesalahan-kesalahannya.”


Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam shahinya dalam Kitab (Al-Maradh) & Imam Muslim dalam kitab (Al-Birr) daripada Abu Said & Abu Hurairah Radhiallahu Anhuma

7 JUN 2011, Ibu sekali lagi mengadu sakit perut yang teruk...Seperti biasa, tanpa berlengah-lengah lagi bapa saya mengajak untuk menghantar ibu ke hospital..Kebiasaannya, ibu berada di wad kecemasan dalam jangka masa yang pendek tapi kali ini agak lama sikit.

Seperti sebelum-sebelum ini, ibu dah banyak kali masuk keluar hospital..Kalau sudah dikeluarkan dari wad, dalam 2 hingga 3 hari begitu ibu kembali sakit...dan menjadi perkara biasa untuk menghantar balik ke hospital..kenapa? Ini kerana hanya itu ja yang boleh mengurangkan sedikit kesakitan yang dialaminya walaupun dalam jangka masa yang pendek..walaupun begitu, sakit ibu saya masih belum sembuh-sembuh lagi sejak 2009.

Sebagai seorang anak, adalah menjadi tanggungjawab untuk menjaga sebaik mungkin dan berusaha selagi masih ada waktu..doa sahaja tidak memadai jika tidak diiringi usaha.

''USAHA + DOA + TAWAKKAL + IKHTIAR"

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).
[Al - Imran : 200]

Sewaktu pertama kali ibu mengalami sakit gastrik yang kronik, ibu berada di hospital selama 3 bulan lebih. Ketika itu, kesihatan ibu masih boleh diselamatkan. Semua doktor berusaha mencari punca kenapa gastriknya tidak berhenti walaupn diberikan ubat penahan sakit. Ubat penahan sakit itu hanya tahan sementara sahaja, dalam beberapa jam kemudian sakit gastriknya kembali menyerang. Walaubagaimanapun, ibu minta keluar hospital atas alasan kesihatannya semakin bertambah baik. Beberapa minggu kemudian, sakitnya datang balik. Sejak dari hari itu, kami sekeluarga ulang alik dari rumah ke hospital sehinggalah sekarang.

Akibat tidak terlalu tahan kesakitan yang dialami oleh ibu, akhirnya ibu minta dibedah. Minta pihak hospital buang bahagian yang menjadi punca kepada kesakitan tersebut. Sebelum permintaan ibu itu ditunaikan, kami sekeluarga bawa berubat kampung. Malangya, keputusannya tetap sama. Dah pelbagai cara kami cuba untuk bantu ibu tapi masih tidak berjaya. Kadang-kadang, putus asa dibuatnya. Terasa penat dan letih. Bila difikir dan muhasabah semula, semua itu adalah ujian dari Allah.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diiuji? Dan sungguh, kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengatahui orang-orang yang dusta."
[Al - Ankabut : 2 - 3]

Ya! Memang benar, Allah sedang menguji hambaNYA! Allah ingin uji sejauh mana iman kita bila ditimpa musibah. Kalau nikmat dikurniakan, semestinya hamba ini selalu lalai kepadaNYA tapi bila musibah ditimpa barulah ingat Allah. Astaghfirullah...ada hikmah disebaliknya terhadap semua yang berlaku kepada saya sekarang ini.

Setelah berusaha membawa ibu berubat kampung, akhirnya ibu perlu juga menerima rawatan di hospital. Kurang dari seminggu saya baru balik dari kampus untuk bercuti semester selama 3 bulan, ibu dikejarkan ke hospital pada 7 Jun 2011 selepas asar. Ibu ditahan di wad pada 8 malam kerana doktor mengesahkan keadaannya agak kritikal.

Minggu pertama di hospital, macam-macam telah berlaku. Antaranya, saya melihat dua buah kenderaan jenazah dihantar ke hospital queen pada 12 malam. Innalillah..Ketika itu, ibu telah tidur dan saya membawa diri ke koridor untuk melihat pemandangan langit malam tapi apa yang dilihat dua buah jenazah diangkat ke kereta jenazah tersebut. Hati ini sangat takut dan kembali ke katil ibu untuk melihat keadaannya. Subuhnya, saya mendoakan agar ibu dalam keadaan yang baik. Perkara lain yang berlaku pada minggu itu, semua rekod perubatan ibu hilang. Yang hanya tinggal gambar X-ray. Disebabkan kehilangan beberapa rekod perubatan (buku rawatan, gambar2 scan dan macam-macam lagi yang wajib dipegang oleh keluarga pesakit), banyak ujian-ujian terpaksa dibuat semula untuk mengetahui apa kes ibu sebenarnya. Sementara menunggu keputusan ujian-ujian tersebut, pihak hospital juga sedang menunggu case notes ibu dari jabatan rekod perubatan. Dalam tempoh minggu tersebut juga, doktor ada mengatakan bahawa buah pinggang ibu merosot. Perlu cuci darah tapi bergantung terhadap prestasi ibu sepanjang berada dalam wad. Minggu ke-2, kami dipindahkan ke wad perempuan 2 di atas bukit.

Minggu kedua dalam wad, seorang lagi telah meninggal dunia. Ianya seorang perempuan. Nampak masih muda, boleh dipanggil kakak. Kakak tu sebelah katil ibu saya. Hati ini semakin takut apabila ada 2 orang telah meninggal dunia sejak saya menemani ibu di hospital selama dua minggu. 

"SETIAP BENDA YANG BERNYAWA PASTI AKAN MATI"

http://syukran.files.wordpress.com/2010/02/mati-yang-pasti.png

Itulah hakikatnya. Bila Allah telah tetapkan, tidak boleh ditangguh. Kematian itu pasti!

Sepanjang menjaga ibu di hospital selama 2 minggu, banyak yang saya fikirkan. Adakah ini satu petanda dariNYA? Macam-macam difikirkan.

Bila ibu tidur dengan lena, disitulah saya ambil masa untuk berfikir. Saya yakin ada hikmahnya.
Setiap hari saya berdoa agar saya dapat membalas jasa ibu selagi masih bernyawa. Mungkin ini adalah satu daripadanya. Ada hikmahnya cuti semester 3 bulan. Sekurang-kurangnya saya meluangkan cuti ini dengan menjaga ibu yang dalam keadaan sakit kuat. Ada hikmahnya juga ibu dihantar ke hospital. Kalau tidak dihantar, mana mungkin saya tahu sejauh mana tahap kesihatannya. Sebelum ini saya hanya tahu ibu memang ada penyakit kencing manis, darah tinggi, tibi dan kronik gastrik(punca utama masuk hospital). Penyakit kencing manis, darah tinggi tidak terlalu teruk sebelum masuk hospital kali ini. Dalam keadaaan yang terkawal. Untuk tibi pula, masih tidak dapat dikesan kerana buku rawatannya telah hilang. Doktor mengesahkan ianya bukan tibi yang aktif. Masih dalam rawatan.

Untuk kemasukan ibu di hospital kali ini, doktor cakap penyakit kencing manis dan darah tinggi tidak normal. Perlu diberi perhatian dari semasa ke semasa.

Masuk minggu ketiga, lebih menakutkan. Doktor cakap kesihatan ibu semakin teruk. Tekanan darah terlalu tinggi, gula dalam darah tidak terkawal (cepat turun dan naik). Saya mula perasan yang ibu mudah cepat sesak nafas dan sakit kepala. Semua itu tanda-tanda yang sangat kritikal. Ditambah lagi sakit kronik gastrik yang tidak menentu (on off pain) makin menjadi-jadi teruk kesihatan ibu saya. Pada minggu itu juga, doktor sahkan ibu ada penyakit buah pinggang tahap 5. MasyaAllah! Sukarnya untuk saya menerima kenyataan ini.

Sejak saya tahu mengenainya, saya pertingkatkan lagi usaha doa. Bukan setakat doa tapi juga guna rawatan Islam. Saya minta seorang ustaz yang saya kenali untuk merawat ibu saya. Ustaz tu cakap, ibu mesti pandai jaga makanan. Ibu tiada kena buatan orang atau gangguan jin/syaitan. Semua itu berpunca daripada pemakanan. Emm...bila sebut pasal pemakanan, ibu saya jenis orang yang degil sikit. Suka makan ikut suka hati dia ja (bukan nak perburukkan). Anak-anak sendiri dia tak nak dengar apalagi saudara mara yang terdekat. Susah nak pujuk pasal makanan ni.

Minggu ke-4, ibu minta keluar dari wad. Alasan, nak tengok pernikahan kakak. Semuanya perancangan Allah. Di saat kakak saya membuat persiapan kahwin, ibu sakit kuat. Masa itulah ibu nak keluar sangat dari wad. Mulanya, doktor tidak benarkan kerana keadaannya yang begitu kritikal tetapi atas ibu saya sanggup tanggung risiko doktor luluskan. Akhirnya, ibu saya keluar wad pada 7 JULAI 2011. Genap 1 bulan kami di hospital tapi hati saya tidak tenang kerana ibu keluar dalam keadaan yang tidak sihat. Sangat bahaya.

Setelah keluar dari wad, ada beberapa temujanji yang ibu perlu pergi tetapi sejak tinggal di rumah, 3 temujanji ibu tidak mahu pergi. Semasa itu, keluarga dari tawau masih ada di rumah. Memandangkan ibu tidak mendengar nasihat dari anak-anak sendiri, keluarga terdekat cuba memujuknya namun gagal juga.

Beberapa hari kemudian, saya masih mencari jalan untuk memujuk ibu pergi temujanji yang paling penting iaitu klinik nefrologi(buah pinggang). Alhamdulillah, makcik kepada kawan saya mengalami penyakit yang sama dengan ibu saya, cumanya makcik tu tiada penyakit kencing manis. Makcik tu sudah 6 tahun dialisis. Menurut kawan saya, sejarah perubatan makciknya serupa dengan kes ibu saya. Dengan rasa baik hati, kawan saya menolong ibu dengan cara mengajak makciknya pergi ke rumah saya. Setibanya di rumah, makcik menceritakan segala-galanya apa yang telah dia lalui. Setelah ibu mendengar, ibu buat keputusan untuk pergi dialisis. Alhamdulillah, 1 keputusan yang sangat bijak tapi masih ada kerisauan. Masa boleh mengubah keputusan secara tiba-tiba. Harapan saya, keputusan ibu perlu dikekalkan dan diteruskan. Menunggu pada 27 Julai 2011(temujanji untuk dialisis peringkat pemasangan), harap semuanya berjalan dengan lancar.

Begitulah kisah pengalaman berada di hospital selama sebulan, diselitkan juga kisah-kisah yang ada kaitan dengannya.

Sebagai tambahan, semasa cuti ini terlalu banyak ujian yang saya hadapi. Antaranya, laptop dan handphone rosak. Yang menyedihkan, semua data-data dalam laptop tidak dapat diselamatkan, diganti dengan yang baru. Sepatutnya, saya mula membuat tesis setelah cuti bermula tetapi perancangan Allah lebih baik. Saya yakin, Allah telah merancang dengan sebaik-baiknya. Bukan ibu saja yang sakit tetapi bapa juga turut sakit pada masa yang sama. Bapa perlu menjalani pembedahan secepat yang mungkin kerana ususnya mula memasuki pundi kencingnya. Jika ini berlaku, boleh menyebabkan kematian.

Ya Allah, beratnya ujian ini...semuanya berlaku dengan pantas..

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..."
[Al - Baqarah : 286]

Ayat inilah sedikit membantu memotivasikan saya tiap kali ujian menimpa. Apapun, saya kena yakin bahawa setiap ujian itu pasti ada hikmahNYA. Ujian itu tanda kasih sayang kepada hambaNYA.

Mengimbau kata-kata para sahabat, bila kita diamanahkan sesuatu tanggungjawab(dirahsiakan) Allah pasti akan uji IMAN. Mungkin benar, menjadi P_ _ _ _ _ _ N bukanlah suatu yang kita banggakan tetapi untuk Allah bagi peluang perbaiki diri dan Allah mahu tutup aib.

Semoga Allah beri kekuatan untuk saya hadapinya dengan sabar dan tabah.

Kesenangan yang datang
Tak akan selamanya
Begitulah selepas susah ada kesenangan
Seperti selepas malam datangnya siang
Oleh itu waktu senang jangan lupa daratan
Gunakan kesempatan untuk kebaikan
Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa guna sesalan hanya menekan jiwa

Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada tuhan
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali
Ujian adalah tarbiyah dari Allah
Apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang dating selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari tuhan
[In team & Nazrey - Kehidupan]


Kredit tKamarudin Toyo

4 comments:

NadiahHalim dot com said...

Innalillahi wa inna ilaihi raaji'un..Moga adik kakak sentiasa tabah dgn segala ujian yg menimpa..Maha Suci Allah, tidak Dia jadikan sesuatu sia-sia seperti dalam Surah Ali 'Imran ayat 190-191..pasti ada hikmah yg besar di sebaliknya..Ssungguhnya org yg sabar dan bersyukur dalam ujian itu sgt dekat dgn Allah..sentiasalah dekatkan diri dgn Allah..pasti kita tdk akan pernah rasa lemah bila bersamaNYA..apa yg penting letakkan redho Allah di hadapan kita..tika itu kita tdk akan merasa ingin memiliki dunia kita..Dunia di bawah dagu Syurga di hadapan mata...

Wan Nornajwa Wan Othman said...

smoga Paidah terus tabah !!! ^^

Wardhatul Sakinah said...

Syukran ukhti Srikandi & Wan Nornajwa..mhn doanya agar terus kuat dan tabah menghadapinya dengan penuh sabar dan senyum =)

Daud Mohamad said...

Salam Takziah dari saya.

Post a Comment