Friday, July 29, 2011

Welcome Ramadhan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Di sebuah rumah yang kecil dan sederhana, satu keluarga duduk bersama-sama sambil mata tertumpu di hadapan televisyen.

"Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Bagi menyempurnakan titah-titah Sri Paduka Yang di Pertuan Agong setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja maka dengan ini mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Isnin 1 Ogos 2011 Masihi bersamaan 1 Ramadhan 1432 Hijrah. Sekian. Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh." 

(Disampaikan oleh YM Engku Tan Sri Dato' Sri Ibrahim bin Engku Ngah, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia. Ayat-ayat ini diolah dari video pengumuman puasa 2010)


Selesai pengumuman, mereka sekeluarga bersurai kecuali seorang bapa yang masih setia meneruskan menonton berita. Manakala ibunya memanggil semua anak-anaknya sambil berpesan,



"Lusa dah nak puasa. Harap semua anak-anak mak bersedia dan sabar mengerjakannya. Untuk Syauqah, tiada lagi puasa setengah hari. Belajar pula puasa penuh. Ni la medan latihan untuk menghadapi Ramadhan akan datang lagi. InsyaAllah."

"InsyaAllah mak, kami akan cuba yang terbaik. Syauqah, dengar tu. Akak akan pantau puasa Syauqah kali ini. Tiada lagi buka puasa selepas waktu Zohor," kata Kak Sue sambil mengusik adiknya yang baru berusia 7 tahun.

Begitulah suasana sebuah keluarga yang sederhana dalam menghadapi Ramadhan yang bakal mendatang.

Tiada istilah puasa setengah hari sebenarnya tetapi itulah satu di antara kaedah yang digunakan untuk melatih anak-anak yang belum kenal erti puasa sepenuhnya.

Bila sebut tentang puasa, adakah kita sudah mempersiapkan diri sepenuhnya?

Bagi yang sudah, alhamdulillah. Kepada yang belum, masih ada masa lagi. Revise semula mengenai puasa, boleh rujuk sini. Baca dan faham.

Dalam Al-Quran, Allah berfirman:

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
[Surah Al-Baqarah: 183]

Syariat puasa telah ada pada zaman nabi dahulu lagi. Maka, tidak ada lagi alasan untuk meninggalkan puasa tanpa sebab-sebab yang dibolehkan.

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, tinggalkan sifat syaitan iaitu membazir. Jangan ikutkan nafsu semata-mata. Bersederhanalah dalam segala perkara.

Banyakkan amal ibadah seperti qiyamullail, solat sunat, tadarus Al-Quran, berzikir dan banyak lagi. Jangan lupa untuk berniat, ikhlaskan diri kerana Allah.

Semoga ramadhan kali ini dapat memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Salam Ramadhan!

0 comments:

Post a Comment