Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk berada di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Bersyukur kerana Allah masih menyayangi diri ini. Allah berfirman yang bermaksud,
Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, "sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari nikmatKu, maka pasti azabKu sangat berat."
[Surah Ibrahim : 7]
Sebelum mula, eloklah dulu bagi tazkirah (peringatan) sedikit kerana peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin seperti yang terkandung dalam kalam Allah, Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin. [Surah Az-Zariyat : 55] يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا اسْتَعِيْنُوْا بِالصَّبْرِ وَ الصَّلاَةِ إِنَّ اللهَ مَعَ الصَّابِرِيْن Wahai sekalian orang-orang yang beriman, kamu mintalah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah itu bersama orang-orang yang sabar [Surah Al-Baqarah : 153] |
Dalam ayat ini Allah s.w.t memerintahkan umat manusia untuk selalu meminta pertolongan kepada Allah s.w.t dengan cara bersabar dan menunaikan solat dalam keadaan khusyuk. Sabar terbahagi kepada dua bahagian, Pertama: sabar ketika mendapat kesenangan, Kedua: sabar ketika mendapat kesusahan. Ketika menghadapi masalah, hendaklah kita kembalikan semua urusan kepada Allah s.w.t kerana Dialah sahaja yang menentukan kesemuanya.
Rasulullah s.a.w bersabada: “Sebagai kejutan bagi seorang mukmin, Allah s.w.t tidak akan menentukan sesuatu, kecuali Allah s.w.t lebih tahu tentang apa yang lebih baik baginya.”Sabar mempunyai tiga pengertian, Pertama: sabar untuk meninggalkan sesuatu yang haram, Kedua: Sabar dalam menunaikan ibadah dan kewajiban dan yang Ketiga: Sabar dalam menerima musibah dari Allah s.w.t. Semua musibah merupakan kehendak Allah s.w.t. telah disebutkan pula bahawa di sebalik kejadian yang menimpa, pasti terdapat hikmah yang sangat agung. (Al-Misbah Al-Munir Fi Tahzib Tafsir Ibnu Kasir 1999: 92-93).
Tatkala dilanda kesenangan dan kesusahan, jangan sesekali alpa kepada Allah kerana setiap saat Dia sentiasa memerhatikan tindak tanduk manusia. Ingatlah Allah banyak-banyak nescaya Allah akan mengingatimu.
Selesai terawih, kedengaran suara seorang lelaki berkata dengan nada yang agak marah di sebalik tabir bahagian lelaki, "Apa masalah kamu?! Apa masalah kamu?! Apa masalah kamu?!," berulang-ulang kali ayat ni ditanyakan.
Saya yang mendengar ni nak melihat sangat apakah yang berlaku sebenarnya. Setelah pergi melihat sebentar, rupanya budak-budak kecil berumur sekitar 6 - 8 tahun sedang dimarah. Gelak sendirian dalam hati melihat karenah budak-budak tu dimarah. Apa tidaknya, budak-budak tu kuat main ketika sidang jemaah sedang menunaikan solat terawih. Main mercun la, teriak sana sini dan banyak lagi yang mengganggu konsentrasi para jemaah solat. Terutamanya mercun. Ada sidang jemaah melatah tak tentu pasal. Astaghfirullah. Nasib baik mercun yang kecil, kalau yang besar? Habislah jemaah yang ada penyakit strok dan sakit jantung.
Setelah 30 minit budak-budak tu dimarah dan dinasihatkan, mereka pun pulang. Lelaki yang memarahi mengharapkan mereka tidak buat lagi pada keesokannya. Harap-harap macam itulah keadaannya. Budak-budak, kalau dimarah sekejap ja. Nanti datang balik 'penyakit' mereka. Perlu tahu teknik nak mendidik dengan cara yang betul agar mereka tidak buat perkara yang sama lagi. Memoir solat berjemaah di surau berdekatan rumah memang mengembirakan. Hampir dua tahun tidak solat di sini dek kerana sambung belajar. Alhamdulillah, cuti semester 3 bulan beri kesempatan sekali lagi untuk saya bersama-sama menunaikan solat jemaah terawih di sini.
Panjang lebar pula pengenalan kali ini. Bukan ini sebenarnya yang saya nak sampaikan, itu hanya sekadar perkongsian. Moganya ia bermanfaat untuk kita yang sering lalai dan lupa kepada Allah.
Sejak cuti semester ni, sinonim dengan nama "Hospital". Ya, kali ini di Hospital lain pula. Kalau sebelum ini, ibu dimasukkan di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu. Kali ini, bapa pula yang masuk hospital. Hospital mana? Hospital Kuala Penyu.
Perjalanan ke Kuala Penyu mengambil masa 2 jam lebih dari bandar Kota Kinabalu. Saya dan bapa bertolak pada 31 Julai 2011 dan tiba di hospital pada waktu matahari tergelincir (tengahari). Seperti biasa, 2 jam itu masa yang agak lama tetapi tidak disia-siakan begitu sahaja kerana Allah telah beri panduan dalam Kitab Al-Quran seperti berikut:
Yaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka."
[Surah Al-Imran : 191]
Ayat yang dihighlightkan itu doa apabila kita melihat ciptaan Allah sambil bermuhasabah. Syukran kepada naqibahku yang mentarbiyyah diri ini ke arah jalan yang betul. Walaupun tidak sehaluan tetapi kita membawa satu matlamat yang sama dan ukhuwah berpanjangan atas dasar aqidah. Amalkan ayat ini bila kita bermusafir atau bersantai melihat pemandangan agar jiwa ini sentiasa ingat kepada Allah.
Benda pertama yang saya lihat apabila tiba di perkarangan hospital adalah surau. Surau tu dinamakan Surau As-Syifa' PERKIPS cawangan Kuala Penyu. Cantik sungguh surau tu tapi malangnya saya tidak dapat mengambil gambar kerana tiada kamera.
Menurut staff nurse di sana, Hospital Kuala Penyu ini merupakan bangunan yang baru dibina. Dulunya ia hanya sebuah klinik di pekan dan kini klinik tersebut dinaiktaraf menjadi hospital dan berpusat lebih kurang 10 km dari pekan Kuala Penyu.
Sementara menunggu kemasukan bapa ke dalam wad, saya sempat menonton drama Ketika Cinta Bertasbih Special Ramadhan di ruang menunggu kecemasan. Tertarik dengan perbualan diantara Aprilia dan Eliana. Saya tidak ingat sangat dialognya, ingat perkara yang disampaikan sahaja. Jadi, dialog dibawah ini diubah suai sedikit berdasarkan mesej yang cuba disampaikan.
Aprilia : Eliana solat? Wah! Masakan Eliana artis yang cantik boleh solat ya Husna : Iya, itu Eliana. Maniskan lihat artis sebegini solat deh Eliana : (Selepas solat, mendekati Husna dan Aprilia). Assalamu'alaikum Aprilia & Husna : Wa'alaikumussalam Aprilia : Eliana, macam mana boleh jadi begini? Maksud Aprilia, solat dan taat ibadah? Eliana : (Senyum kecil) Alhmdulillah, semua itu dari faktor persekitaran. Dahulunya, Eliana bukan begini. Eliana ini sosialis orangnya. Mujur ada sahabat-sahabat seperti Azzam dan Anna membimbing Eliana terus menerus. Kalau tidak, Eliana akan hanyut diarus dunia maksiat Aprillia : Wah, hebat sekali ya perubahan Eliana. Mau minta tolong ni Eliana. Maksud guwe, kalau ada persoalan-persoalan yang Aprilia tidak tau mengenai solat atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Islam, bolekah Aprilia sms Eliana? Bisakah Eliana membalasnya? Eliana : Ya, sudah semestinya boleh Aprilia. Tiada masalah (sambil tersenyum) Berdasarkan dialog yang diubah suai ini, satu pesanan yang yang saya lihat adalah persekitaran mempengaruhi perubahan diri seseorang. Ya, memang benar. Saya juga sudah mengalaminya. Apa yang paling penting juga ialah pemilihan sahabat-sahabat sekeliling. Sahabat-sahabat sedikit sebanyak akan mencerminkan diri kita sebenarnya. Begitu indah sekali bila kita dikurniakan sahabat-sahabat yang baik yang dapat menasihati ke arah kebenaran dan paling manis bila kita berada dalam nikmat Islam. Bersyukurlah kerana dilahirkan sebagai seorang muslim tetapi pada hari ini ramai orang Islam tetapi sikitnya orang muslim. Islam hanya pada nama dan tidak menjadikan Islam itu sebagai cara hidup. Setelah bapa dimasukkan wad, saya mengambil masa yang ada untuk bersiar-siar melihat sekitar hospital. Segala kemudahan masih baru dan suasananya seperti hotel. Sangat cantik! Ada taman permainan dan tempat sukan. Sekeliling hospital juga ada rumah bagi pelatih jururawat, kakitangan hospital dan doktor. Tarikh pembedahan bapa pada 3 Ogos 2011 dan perlu masuk awal untuk memastikan segala tekanan darah dalam keadaan yang normal. Pada hari pembedahan, doktor memberitahu bahawa keputusan ujian darah bapa ada masalah sikit. Walaupun begitu, pembedahan tetap akan dijalankan namun ada beberapa konflikasi seperti luka pembedahan lambat sembuh dan akan mengalami bengkak dalam beberapa hari selepas pembedahan. Terlupa satu perkara. Bapa menjalani pembedahan kecil di bahagian pundi kencing yang mana usus kecil mula memasuki pundi kencing dan menyebabkan dua biji (bahagian kemaluan lelaki) semakin membesar dan boleh menyebabkan kematian jika semakin membesar. Alhamdulillah, 2 jam dalam bilik pembedahan bapa selamat menjalani pembedahan cuma tidak boleh bergerak seperti biasa kerana takut bahagian yang dibedah akan terbuka kembali. Kali ini, saya sambut ramadhan di hospital Kuala Penyu buat pertama kalinya dan juga merupakan kali ketiga menyambut ramadhan luar rumah. Tiga tahun lepas ramadhan di matrikulasi dan dua tahun berikutnya di UMS. Walaupun berbeza tempat, nikmat ramadhan itu ada dan manis kerana merasai pelbagai cara menyambut ramadhan. "Penyu Berbuka" saya namakan kerana inilah kali pertama saya berbuka puasa di Kuala Penyu. Dan buat pertama kalinya juga saya solat terawih di Surau As-Syifa' bersama kakitangan hospital, staff nurse dan para doktor. Memang ada kebaikannya kalau menyambut ramadhan di tempat berbeza. Kenikmatan itu semakin bertambah bersyukur menghadap Allah SWT. Pengalaman manis juga melihat gelagat para doktor dan jurulatih jururawat beraksi sepak takraw pada waktu malam dan bola jaring di waktu petang. Agak kelakar bila meilhat mereka bertanding dan bermain sesama sendiri. Ada yang tidak reti main tapi buat-buat tahu sahaja. Doktor-doktor, siap main dengan kot baju putih lagi. Hampir seminggu kami berada di hospital dan bapa dibenarkan balik pada hari Jumaat 5 Ogos 2011, alhamdulillah selamat tiba di rumah. Dan, kini bapa sedang rehat di rumah. Tidak boleh melakukan kerja yang terlalu berat khususnya. Penyakit yang dialami bapa sering menjangkiti lelaki yang suka mengangkat barang-barang yang berat. Apapun, tempat yang dibedah mengambil masa 2 bulan untuk sembuh sepenuhnya. Moga bapa sembuh secepat yang mungkin. Begitu juga ibu yang masih sakit tidak berhenti. Moga Allah berikan kekuatan untuk menghadapinya dengan penuh sabar. Doa Menghadapi Kesulitan dalam Kehidupan Dengan menyebut nama Allah kepada diriku, hartaku dan agamaku. Ya Allah, berikanlah keredhoan kepada diriku agar boleh menerima takdir-Mu dan berkatilah aku dalam perkara yang telah engkau takdirkan padaku supaya aku tidak akan mudah untuk menyegerakan takdir yang masih Engkau tangguhkan dan aku tidak akan mudah untuk menangguhkan takdir yang telah Engkau datangkan lebih cepat. (Imam Nawawi (2009: 245) Al-Azkar) p/s: Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mengucapkan ulangtahun kelahiran saya yang kali ke-22 pada 2 Ogos 2011. Saya tidak mengharapkan apa-apa hadiah yang mahal atau pun istimewa. Hanya doa saja yang saya perlukan sebagai hadiah yang paling bernilai dan berharga! |
0 comments:
Post a Comment