Allah sendiri mengajar kita untuk mendoakan ibu bapa yang mengasihi kita tanpa syarat ketika kita kecil dahulu. Allah berfirman yang bermaksud:
"Wahai Tuhan, kasihilah mereka berdua (ibu bapa) sebagaimana mereka mengasihiku (mengasuhku) ketika kecil."
[Surah Al-Isra' : 24]
Doakanlah juga, jika mereka masih ada di dunia ini agar istiqomah mentaati Allah di hujung usia, teguh di atas jalan iman, menemui Penciptanya dengan kesudahan yang baik (husn al-khatimah), dimurahkan rezeki mereka dengan redha Allah dan pahala-Nya.
Selain berdoa, kasih dan bakti boleh disalurkan menerusi amalan soleh yang dinyatakan oleh Baginda junjungan. Petunujuk Rasulullah ini adalah sebaik-baik perkara yang boleh dan patut kita lakukan. Baginda sendiri mengajar kita cara untuk berbuat baik kepada mereka, walaupun mereka sudah tiada. Daripada Malik bin Rabi'ah al-Sai'di, katanya:
"Ketika kami bersama Rasulullah, seorang lelaki dari Bani Sulaim datang bertanya kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah, adakah ada sesuatu yang aku boleh lakukan untuk menyambung bakti kepada ibu bapa ku selepas mereka meninggal dunia?' Baginda menjawab: "Ya. Doakanlah mereka, mohonlah keampunan untuk mereka, laksanakan janji mereka, hormatilah sahabat-sahabat mereka dan sambunglah tali persaudaraan yang tidak bersambung melainkan dengan keduanya."
[Riwayat Ibn Majah no 3795
Panduan nabawi ini boleh dilakukan bagi membuktikan kasih cinta kita buat insan yang begitu banyk berjasa dalam hidup. Kesemua amalan berikut akan mengalirkan pahala buat ibu bapa kita dan juga menebus dosa-dosanya, sebagaimana yang dinyatakan dalam banyak riwaya hadis:
1. Mendoakan mereka agar mendapat keampunan dan rahmat Allah
2. Melaksanakan janji, wasiat dan amanah mereka
3. Menghormati sahabat mereka
4. Menyambung hubungan persaudaraan
5. Tunaikan haji dan umrah yang belum dapat dilaksanakan
6. Bersedekah dan melakukan kebajikan bagi pihak mereka
7. Menggunakan harta yang mereka tinggalkan untuk tujuan kebajikan
Sumber : Solusi 23
0 comments:
Post a Comment