Sunday, August 28, 2011

Kiriman Doa Buat Arwah Ibu



19 Ogos 2011 / 19 Ramadhan 1432 H (Hari Jumaat)

Selesai tunaikan solat Zohor, kedengaran bising di ruang tamu.

"Cepat bersiap. Kita bawa mama mu pergi hospital sekarang!" Tanpa berlengah-lengah, saya siapkan diri dengan cepat.

"Mak..mak..mak, bangun mak..kita pergi hospital sekarang. Keadaan mak dah semakin teruk"

Mama tidak respon apa-apa. Masa itu mama dalam keadaan tidur mengiring sebelah kanan dan menghadap kiblat. Mama sudah tidak sedarkan diri.

"Biar bapa angkat mama mu. Tunggu ja di dalam kereta"

Dalam perjalanan, saya dapat rasakan yang mama sudah tidak ada tetapi saya pujuk diri sendiri untuk tidak berfikir yang bukan-bukan.

Terasa air mata mengalir dengan deras secara tiba-tiba tanpa berhenti. Bapa pula berusaha memandu selaju yang mungkin tetapi kami terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selama 30 minit lebih.



Tiba di hospital pada jam 2.15 petang. Mama dimasukkan ke dalam wad kecemasan zon kritikal.


Menunggu sungguh perit dan menanti-nanti apakah yang bakal berlaku selepasnya. Sambil tu berdoa agar semuanya baik-baik saja.

Tepat 2.50 petang, doktor keluar dari wad kecemasan dan memanggil kami. Terasa berdebar nak tahu keputusannya.

Doktor memberitahu bahawa mama tidak dapat diselamatkan.

Tiada apa-apa lagi yang saya boleh katakan pada masa itu. Diam sebentar, keluar menuju pintu hospital dan duduk sendirian di tempat menunggu. Air mata mengalir deras dan menangis terus. Seorang nenek menghampiri dan menanyakan apa yang berlaku, saya tidak menjawabnya malah menangis dan menangis terus.

Beberapa minit kemudian, bapa datang mendekati di sebelah kanan. Kelihatan bapa agak tenang dan redha di atas pemergian mama.

"Bapa pergi ke balai polis sekejap dulu, bapa nak laporkan kematian mama mu. Tunggu di sini ya. Jangan pergi ke mana-mana. Nanti bapa datang balik"

Melihat bapa berlalu pergi, hati terasa tenang sikit. Bapa merelakan kepergian mama tapi saya tidak. Masih ada air mata yang mengalir tanpa berhenti.

Ku capai telefon untuk telefon adik-beradik yang lain. Tidak tahan reaksi yang diberikan, air mata mengalir lagi. Tidak lupa juga buat sahabat-sahabat saya, mereka tumpang sedih di atas pemergian ibu.

Hampir 2 tahun ibu menderita akibat penyakit yang dialaminya. Syukur kepada Allah kerana beri peluang untuk saya menjaga ibu sepenuhnya sepanjang cuti semester 3 bulan lebih. Tidak disangka, hebatnya aturan Allah.

Masih segar di ingatan, arwah ibu senyum sewaktu dimandikan di Masjid Negeri. Semoga arwah ibu dicucuri rahmatNya dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.


Sesungguhnya mati itu pasti. Bila sudah tiba, tiada siapa yang boleh menangguhkannya.

Salah Faham dalam Menziarahi Kubur

Ramai yang menyangka bahawa penghuni kubur, seperti ibu bapa atau ahli keluarga, akan mengetahui apabila kita datang menziarahi mereka. Kefahaman sedemikian memaksa mereka menziarahi kubur ibu bapa dan ahli keluarga yang telah meninggal dunia, dan rasa bersalah akan menyelubungi diri jika perkara itu tidak dapat dilakukan pada pagi lebaran.

Sangkaan ini tidak menepati keterangan Al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan tidaklah sama orang yang hidup dengan orang yang mati. Seseungguhnya Allah, dapat menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mendengar dan engkau wahai Muhammad tidak dapat menjadikan orang di dalam kubur mendengar." 
[Surah Fatir : 22]

Jelaslah bahawa sesiapa pun yang berada di dalam kubur tidak mengetahui siapakah yang datang menziarahi mereka dan tidak dapat mendengar apa yang kita perkatakan.

Tujuan Galakan Menziarahi Kubur

Sebenarnya, amalan menziarahi kubur adalah sebagai peringatan buat jiwa, bukannya untuk imbasan kenangan bersama ibu bapa yang banyak mengundang tangisan.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: 

Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkan kamu tentang alam akhirat." 
[Riwayat Ibn Majah no.1569]



“Semoga kesejahteraan untukmu, wahai penghuni kubur dari kaum mukminin dan muslimin. Sesungguhnya kami InsyaAllah akan menyusul kamu sekalian. Aku bermohon semoga Allah melimpahkan keselamatan kepada kami dan kepada kamu sekalian”. 
 [Hadis Riwayat Muslim]

Islam menggalakkan kita menziarahi kubur bagi mengingati kehidupan abadi di akhirat. Ini bagi melembutkan hati, mengingati pendeknya usia di dunia dan panjangnya alam yang akan ditempuh selepas ini serta menyedarkan diri bahawa dunia ialah tempat untuk beramal dan menuai hasilnya di sana.

Selain itu, menziarahi kubur juga menginsafi bahawa adanya janji Allah untuk memberi nikmat bagi orang yang soleh dan mengazab mereka yang lupa untuk bertaubat.

Perlu ditegaskan bahawa galakan menziarahi kubur ini adalah secara umum, bukannya mengkhususkan kubur ahli keluarga yang tersayang. Islam tidak pula mengajar kita agar menetapkan hari tertentu untuk menziarahi kubur ahli keluarga. Kita hanya diminta oleh syarak untuk memberi salam kepada penghuninya, mendoakan kebaikan dan keampunan ke atas mereka dan juga memohon agar Allah merahmati mereka. Malahan, perjalanan khusus untuk menziarahi kubur seseorang (selain Nabi S.A.W) bukanlah satu anjuran dalam agama.

Jadi, bagaimana caranya kita menyambung kasih dan bakti kepada ibu bapa yang telah pergi?

Kasih dan Bakti Selepas Mati

Cukup menyambung bakti dengan talian doa dan amalan soleh. Tanpa perlu ke kubur pada masa tertentu, kasih dan bakti kita kepada mereka bermula dengan doa. Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Jika seseorang manusia yang telah meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya." 
[Riwayat Muslim no. 1631]

Berdoalah untuk ibu bapa kita agar terus dilimpahi dengan rahmat Allah dan keampunan-Nya. Doa itu perlu setiap masa, ketika teringatkan mereka, tanpa perlu terikat dengan waktu tertentu. Baik semasa, selepas solat ataupun ketika melakukan apa sahaja pekerjaan.

Bukankah indah mengingati orang yang kita cintai pada setiap detik masa? Mengapa untuk ibu bapa yang telah pergi atau yang sedang sepi di kampung, tidak kita kirimkan doa kebaikan untuk mereka?

Doa Amat Bernilai


Walaupun berpisah jasad dan nyawa ibu dan bapa, bukanlah terhenti kasih cinta dan bakti kita kepada ibu bapa. Perbanyakkan doa untuk mereka sama ada yang masih ada di sisi atau sudah di sana.

Doa yang kita kirim pada setiap detik dan waktu, akan mengejutkan mereka pada hari akhirat. Hati mereka yang terluka dan menjauh di dunia, mungkin terubat dengan titipan doa kita. Rasulullah sendiri menggambarkan bagaimana doa seseorang anak boleh mengubah kedudukan ibu bapa mereka di akhirat nanti. Daripada Abu Huraiarah bahawa yang bermaksud:

"Sesungguhnya seseorang lelaki akan diangkat darjatnya di syurga. Maka dia bertanya: 'Bagaimana aku boleh berada di sini?' Maka dijawab: 'Dengan doa permohonan keampunan oleh anakmu untuk dirimu."
[Riwayat Ibn Majah no. 3660. Sanadnya sahih sebagaimana dalam al-Zawaid]

Tebuslah dosa dan kesalahan kita terhadap ibu bapa dengan banyak berdoa, sebelum diri kita pula menyusuli mereka.



p/s: Syawal bakal menjelma, mohon maaf atas segala kekhilafan sama ada sengaja ataupun tidak. Moga Syawal kali ini sedikit sebanyak memberikan kebaikan yang bermanfaat dan berguna buat manusia yang lain. Bila Ramadhan berlalu pergi, isitiqamahlah dengan amalan-amalan yang telah dilakukan. Kemenangan itu diraih di hari Syawal bila ketaqwaan dimiliki pada bulan Ramadhan. Moga kita tergolong orang-orang yang bertaqwa.

2 comments:

Perindu Taubat said...

banyakkan bersabar ya kak..smoga Allah bersamamu

Unknown said...

sesungguhnya kita milik allah dan kita jua akan kembali padany

Post a Comment