Monday, August 15, 2011

Nasihat Buat "Kawan-Kawan"ku


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Nasihat ini ditujukan khas buat "kawan-kawan"ku

Assalamu'alaikum

Apa khabar kawan-kawan? Sihat? Lama tidak dengar khabar, rindu nak berjumpa. Semoga kawan-kawan dalam perlindungan Allah.

Kawan-kawan VS Sahabat-sahabat
Persahabatan VS Ukhuwah

Indahnya Ukhuwah kerana Allah 
Sahabat-sahabat itu lebih mendalam maknanya berbanding kawan-kawan,
Ukhuwah itu juga lebih mendalam daripada persahabatan.


Sudah lama aku ingin cari peluang untuk menyampaikan nasihat ini kawan-kawan tapi tak tahu macam mana nak sampaikan kepada kamu. Aku risau kamu akan kecil hati dan terguris kerana kamu adalah "kawan-kawan"ku yang terbaik. Tidak sanggup untuk sakitkan hati kamu semua tetapi harus ku sampaikan juga kerana ini adalah dari Allah.

Aku ingin "kawan-kawan"ku berubah menjadi "sahabat-sahabat" yang lebih bermakna dan menjalinkan ukhuwah atas dasar aqidah yang satu bukan lagi atas nama "persahabatan" semata-mata.

Masih ingat lagi Ustazah Zuraidah dan Ustazah Laily? Ustazah Zuraidah amat lembut dalam menyampaikan nasihatnya tetapi Ustazah Laily amat pedas! Siapa yang termakan cili, dia terasa "pedas"nya. Biarpun pedas tetapi sampai juga apa yang diperkatakan. Kenapa dia buat macam itu? Kerana Ustazah sayang kita semua. Begitulah juga aku. Aku sayangkan kamu semua dan adalah menjadi kewajipanku untuk sampaikan.

"Barangsiapa yang menyebut La Ilaha Illallah, maka dia adalah dai'e"

Aku bukannya ustazah, tetapi seorang manusia biasa punya hati untuk membawa "kawan-kawan" bersama menerajui perjuangan bersama-sama.

Nilai Tudung

Setelah sekian lama kita tidak berjumpa dek kerana masing-masing punya matlamat dan impian untuk dikejar, banyak yang telah berubah terutamanya penampilan diri.

Tidak salah berfesyen ataupun berhias "kawan-kawan"ku tetapi ada batasnya kerana Allah telah menggariskan dalam Al-Quran seperti berikut:

Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya,...
[Surah An-Nur : 31]

Jelas tak ayat ni? Mudah ja "kawan-kawan". Aku nak cakap pasal tudung ja. Kalau dulu di sekolah menengah, pakai tudung sekadar ikut peraturan sekolah. Selepas habis sekolah, tudung hilang begitu sahaja.

Tak mau cakap banyak, paling senang pakai tudung atas dasar perintah Allah. Tak payah pakai tudung besar-besar dulu. Cukup pakai tudung sekadar tutup aurat. Kalau nak berubah ni, kena perlahan-lahan. Jangan terus pakai tudung labuh dan baju jubah, takut tidak istiqomah. 

Pakai tudung pun biar dengan cara yang betul, tidak jarang dan tidak nampak rambut. Pakai tudung mesti cukup syaratnya. Banyak tudung yang nipis sekarang ni, pelbagai fesyen dan kita perlu kreatif untuk menutup aurat terutama bahagian leher. Itupun aurat juga. Kena labuhkan tudung tu hingga ke paras dada, barulah cukup syarat.

Jangan biarkan aurat kita terdedah secara percuma "kawan-kawan". Tidak kesian kah pada ibu bapa kita? Ibu bapa akan dapat "saham" juga kalau "kawan-kawan" tidak jaga aurat. Ingat "kawan-kawan", mahar seorang ibu bapa adalah doa anak yang soleh/ah. Bagaimana kita mahu membela ibu bapa kita dari api neraka nanti apabila di perhitungan hari? Jangan pula kamu salahkan ibu bapa kerana tidak mendidik kamu dengan baik, tetapi salahkan lah diri sendiri.

Setelah pakai tudung dengan sempurna, cuba usahakan yang lain pula seperti pemakaian yang baik menurut Islam (tidak ketat dan sendat) dan pakai sarung lengan tangan dan stokin kaki. InsyaAllah, kalau ada usaha ke arah itu Allah akan pasti bantu "kawan-kawan". Biar sedikit asalkan istiqomah.

Alangkah indahnya jika kamu semua dapat bersama-sama dengan aku seperti mana ketika waktu sekolah menengah kita bersatu hati dalam menelaah pelajaran, makan sama-sama dan suka kenakan cikgu dalam kelas. Yang paling diingat, semasa kita bersatu hati tidak mahu ikut apa yang cikgu suruh buat kerana kita belum biasakan diri dalam keadaan tersebut namun setelah beberapa tempoh yang lama, akhirnya kita terpaksa juga menuruk kata-kata cikgu tu. Sampai sekarang, lihat hasilnya. "Kawan-kawan"ku dapat menyambung pelajaran seperti yang diingini. Syabas "kawan-kawan"!

Tapi lagi indah jika kamu semua berubah ke arah yang lebih baik kerana Allah. Aku hanya menyampaikan, selebihnya urusan kamu dengan Allah. Hanya Allah yang layak memberikan hidayah-hidayah kepada hambaNYA.

Diharap "kawan-kawan" tidak mengambil hati apa yang aku sampaikan. Jika ada yang terguris, aku minta maaf banyak-banyak. Tidak terniat untuk melukakan kamu semua tapi aku benar-benar sayangkan kamu semua. Aku tidak mahu aku seorang saja yang mahu berlumba-lumba ke syurga Allah tapi ingin juga ku bawa "kawan-kawan"ku bersama yang dahulunya sangat memahami diriku dan sehati sejiwa.

Moga Allah memberikan hidayah kepada kamu semua "kawan-kawan". Maafkan diriku andai terguris.

Ikhlas dariku,
Wardhatul Sakinah

0 comments:

Post a Comment