Tuesday, August 30, 2011

Puisi Lebaran Buat Ayah Ibu




Tak ada kata yang mampu terucap
Tak ada sedih yang terlihat
Hanya air mata yang bercucuran
Air mata kebahagiaan

Minta ampun pada ayah dan ibu
Aku bersujud kepada Allah
Mata ini tak mampu menahan linangan air mata
Bibir ini tak mampu sembunyikan tangisan
Hati juga tak mampu menahan kepiluan

Maafkan aku ayah ibu
Aku tahu aku bukan anak yang sempurna
Tidak dapat menjadi anak yang diinginkan
Izinkan aku memohon ampun dan restu darimu



Hari Raya Aidilfitri bukanlah suatu kemenangan yang secara biasa.. ianya adalah “hadiah” dari Allah sebagai memberi suatu suntikan semangat kepada mereka yang bersungguh mengagahi Ramadhan
Alhamdulillah dan Tahniah kepada Insan yang memanfaatkan Ramadhan..
Tidak semua insan bernasib baik untuk berada bersama Ramadhan, mungkin kita antara yang bernasib baik itu, tidak juga semua insan menghayati Erti Ramadhan.
Bernasib baiklah kiranya kita tergolong dalam kalangan Insan yang menghayati Ramadhan. Tidak semua insan memahami Ramadhan.
Bernasib baiklah kita kerana cuba memahami Ramadhan. Tidak semua Insan yang bersama kita menjalani dan menghayati Ramadhan mendapat Janji Allah untuk melepaskan kita dari api Neraka.
Amat bernasib baiklah seandainya kita insan yang tergolong dalam kalangan yang dijanjikan Allah Pelepasan dari Api Neraka. Tidak semua insan menjalani Ramadhan mendapat LAILATULQADR.
Amat beruntung dan bernasib baiklah andainya merupakan insan yang mendapat Ganjaran LAILATULQADR, yang ganjarannya seumpama SERIBU BULAN dan akhirnya bernasib baiklah andai dapat Berhari Raya bersama Kedua Ibu dan Bapa kerana di masa yang sama ada Insan yang tidak dapat Berhari Raya bersama Kedua Ibu dan Bapa.
Betapa bernasib baiklah andainya Ibu dan Bapa masih menanti dimuka pintu untuk menanti kepulangan kita Insan yang disayanginya kerana telah ada Insan yang tiada sesiapa lagi menanti kepulangannya di pagi Syawal…
Kepada mereka Insan yang tiada lagi Ibu dan Bapa, pastikan setiap hari doa dialirkan kepada mereka. Mengharapkan Allah mengampuni segala kesalahan mereka.. Masih kita Insan yang bernasib baik kerana sempat berdoa kepada Ibu dan bapa berbanding INSAN YANG TIDAK LANGSUNG MEMPEDULIKAN ATAU MENUMPAHKAN DOA KEPADA MEREKA.
Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin..
Hargailah mereka selagi masih hidup dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka sama ada masih hidup atau pun yang telah meninggal dunia.

Perginya seorang ibu mengajar erti kesabaran..Moga aku terus tabah dan sabar menghadapi semua ini seperti mana Siti Hajar, jiwanya tabah menempuhi 
rintangan...



Salam Eid Mubarak Ibu... 
Maafkan anakmu ini Ibu..
Rindu mak...

Sunday, August 28, 2011

Kiriman Doa Buat Arwah Ibu



19 Ogos 2011 / 19 Ramadhan 1432 H (Hari Jumaat)

Selesai tunaikan solat Zohor, kedengaran bising di ruang tamu.

"Cepat bersiap. Kita bawa mama mu pergi hospital sekarang!" Tanpa berlengah-lengah, saya siapkan diri dengan cepat.

"Mak..mak..mak, bangun mak..kita pergi hospital sekarang. Keadaan mak dah semakin teruk"

Mama tidak respon apa-apa. Masa itu mama dalam keadaan tidur mengiring sebelah kanan dan menghadap kiblat. Mama sudah tidak sedarkan diri.

"Biar bapa angkat mama mu. Tunggu ja di dalam kereta"

Dalam perjalanan, saya dapat rasakan yang mama sudah tidak ada tetapi saya pujuk diri sendiri untuk tidak berfikir yang bukan-bukan.

Terasa air mata mengalir dengan deras secara tiba-tiba tanpa berhenti. Bapa pula berusaha memandu selaju yang mungkin tetapi kami terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selama 30 minit lebih.



Tiba di hospital pada jam 2.15 petang. Mama dimasukkan ke dalam wad kecemasan zon kritikal.


Menunggu sungguh perit dan menanti-nanti apakah yang bakal berlaku selepasnya. Sambil tu berdoa agar semuanya baik-baik saja.

Tepat 2.50 petang, doktor keluar dari wad kecemasan dan memanggil kami. Terasa berdebar nak tahu keputusannya.

Doktor memberitahu bahawa mama tidak dapat diselamatkan.

Tiada apa-apa lagi yang saya boleh katakan pada masa itu. Diam sebentar, keluar menuju pintu hospital dan duduk sendirian di tempat menunggu. Air mata mengalir deras dan menangis terus. Seorang nenek menghampiri dan menanyakan apa yang berlaku, saya tidak menjawabnya malah menangis dan menangis terus.

Beberapa minit kemudian, bapa datang mendekati di sebelah kanan. Kelihatan bapa agak tenang dan redha di atas pemergian mama.

"Bapa pergi ke balai polis sekejap dulu, bapa nak laporkan kematian mama mu. Tunggu di sini ya. Jangan pergi ke mana-mana. Nanti bapa datang balik"

Melihat bapa berlalu pergi, hati terasa tenang sikit. Bapa merelakan kepergian mama tapi saya tidak. Masih ada air mata yang mengalir tanpa berhenti.

Ku capai telefon untuk telefon adik-beradik yang lain. Tidak tahan reaksi yang diberikan, air mata mengalir lagi. Tidak lupa juga buat sahabat-sahabat saya, mereka tumpang sedih di atas pemergian ibu.

Hampir 2 tahun ibu menderita akibat penyakit yang dialaminya. Syukur kepada Allah kerana beri peluang untuk saya menjaga ibu sepenuhnya sepanjang cuti semester 3 bulan lebih. Tidak disangka, hebatnya aturan Allah.

Masih segar di ingatan, arwah ibu senyum sewaktu dimandikan di Masjid Negeri. Semoga arwah ibu dicucuri rahmatNya dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.


Sesungguhnya mati itu pasti. Bila sudah tiba, tiada siapa yang boleh menangguhkannya.

Salah Faham dalam Menziarahi Kubur

Ramai yang menyangka bahawa penghuni kubur, seperti ibu bapa atau ahli keluarga, akan mengetahui apabila kita datang menziarahi mereka. Kefahaman sedemikian memaksa mereka menziarahi kubur ibu bapa dan ahli keluarga yang telah meninggal dunia, dan rasa bersalah akan menyelubungi diri jika perkara itu tidak dapat dilakukan pada pagi lebaran.

Sangkaan ini tidak menepati keterangan Al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan tidaklah sama orang yang hidup dengan orang yang mati. Seseungguhnya Allah, dapat menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mendengar dan engkau wahai Muhammad tidak dapat menjadikan orang di dalam kubur mendengar." 
[Surah Fatir : 22]

Jelaslah bahawa sesiapa pun yang berada di dalam kubur tidak mengetahui siapakah yang datang menziarahi mereka dan tidak dapat mendengar apa yang kita perkatakan.

Tujuan Galakan Menziarahi Kubur

Sebenarnya, amalan menziarahi kubur adalah sebagai peringatan buat jiwa, bukannya untuk imbasan kenangan bersama ibu bapa yang banyak mengundang tangisan.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: 

Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkan kamu tentang alam akhirat." 
[Riwayat Ibn Majah no.1569]



“Semoga kesejahteraan untukmu, wahai penghuni kubur dari kaum mukminin dan muslimin. Sesungguhnya kami InsyaAllah akan menyusul kamu sekalian. Aku bermohon semoga Allah melimpahkan keselamatan kepada kami dan kepada kamu sekalian”. 
 [Hadis Riwayat Muslim]

Islam menggalakkan kita menziarahi kubur bagi mengingati kehidupan abadi di akhirat. Ini bagi melembutkan hati, mengingati pendeknya usia di dunia dan panjangnya alam yang akan ditempuh selepas ini serta menyedarkan diri bahawa dunia ialah tempat untuk beramal dan menuai hasilnya di sana.

Selain itu, menziarahi kubur juga menginsafi bahawa adanya janji Allah untuk memberi nikmat bagi orang yang soleh dan mengazab mereka yang lupa untuk bertaubat.

Perlu ditegaskan bahawa galakan menziarahi kubur ini adalah secara umum, bukannya mengkhususkan kubur ahli keluarga yang tersayang. Islam tidak pula mengajar kita agar menetapkan hari tertentu untuk menziarahi kubur ahli keluarga. Kita hanya diminta oleh syarak untuk memberi salam kepada penghuninya, mendoakan kebaikan dan keampunan ke atas mereka dan juga memohon agar Allah merahmati mereka. Malahan, perjalanan khusus untuk menziarahi kubur seseorang (selain Nabi S.A.W) bukanlah satu anjuran dalam agama.

Jadi, bagaimana caranya kita menyambung kasih dan bakti kepada ibu bapa yang telah pergi?

Kasih dan Bakti Selepas Mati

Cukup menyambung bakti dengan talian doa dan amalan soleh. Tanpa perlu ke kubur pada masa tertentu, kasih dan bakti kita kepada mereka bermula dengan doa. Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Jika seseorang manusia yang telah meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya." 
[Riwayat Muslim no. 1631]

Berdoalah untuk ibu bapa kita agar terus dilimpahi dengan rahmat Allah dan keampunan-Nya. Doa itu perlu setiap masa, ketika teringatkan mereka, tanpa perlu terikat dengan waktu tertentu. Baik semasa, selepas solat ataupun ketika melakukan apa sahaja pekerjaan.

Bukankah indah mengingati orang yang kita cintai pada setiap detik masa? Mengapa untuk ibu bapa yang telah pergi atau yang sedang sepi di kampung, tidak kita kirimkan doa kebaikan untuk mereka?

Doa Amat Bernilai


Walaupun berpisah jasad dan nyawa ibu dan bapa, bukanlah terhenti kasih cinta dan bakti kita kepada ibu bapa. Perbanyakkan doa untuk mereka sama ada yang masih ada di sisi atau sudah di sana.

Doa yang kita kirim pada setiap detik dan waktu, akan mengejutkan mereka pada hari akhirat. Hati mereka yang terluka dan menjauh di dunia, mungkin terubat dengan titipan doa kita. Rasulullah sendiri menggambarkan bagaimana doa seseorang anak boleh mengubah kedudukan ibu bapa mereka di akhirat nanti. Daripada Abu Huraiarah bahawa yang bermaksud:

"Sesungguhnya seseorang lelaki akan diangkat darjatnya di syurga. Maka dia bertanya: 'Bagaimana aku boleh berada di sini?' Maka dijawab: 'Dengan doa permohonan keampunan oleh anakmu untuk dirimu."
[Riwayat Ibn Majah no. 3660. Sanadnya sahih sebagaimana dalam al-Zawaid]

Tebuslah dosa dan kesalahan kita terhadap ibu bapa dengan banyak berdoa, sebelum diri kita pula menyusuli mereka.



p/s: Syawal bakal menjelma, mohon maaf atas segala kekhilafan sama ada sengaja ataupun tidak. Moga Syawal kali ini sedikit sebanyak memberikan kebaikan yang bermanfaat dan berguna buat manusia yang lain. Bila Ramadhan berlalu pergi, isitiqamahlah dengan amalan-amalan yang telah dilakukan. Kemenangan itu diraih di hari Syawal bila ketaqwaan dimiliki pada bulan Ramadhan. Moga kita tergolong orang-orang yang bertaqwa.

Doa Yang Bagaimana?



Allah sendiri mengajar kita untuk mendoakan ibu bapa yang mengasihi kita tanpa syarat ketika kita kecil dahulu. Allah berfirman yang bermaksud:

"Wahai Tuhan, kasihilah mereka berdua (ibu bapa) sebagaimana mereka mengasihiku (mengasuhku) ketika kecil."
[Surah Al-Isra' : 24]



Doakanlah juga, jika mereka masih ada di dunia ini agar istiqomah mentaati Allah di hujung usia, teguh di atas jalan iman, menemui Penciptanya dengan kesudahan yang baik (husn al-khatimah), dimurahkan rezeki mereka dengan redha Allah dan pahala-Nya.



Selain berdoa, kasih dan bakti boleh disalurkan menerusi amalan soleh yang dinyatakan oleh Baginda junjungan. Petunujuk Rasulullah ini adalah sebaik-baik perkara yang boleh dan patut kita lakukan. Baginda sendiri mengajar kita cara untuk berbuat baik kepada mereka, walaupun mereka sudah tiada. Daripada Malik bin Rabi'ah al-Sai'di, katanya:


"Ketika kami bersama Rasulullah, seorang lelaki dari Bani Sulaim datang bertanya kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah, adakah ada sesuatu yang aku boleh lakukan untuk menyambung bakti kepada ibu bapa ku selepas mereka meninggal dunia?' Baginda menjawab: "Ya. Doakanlah mereka, mohonlah keampunan untuk mereka, laksanakan janji mereka, hormatilah sahabat-sahabat mereka dan sambunglah tali persaudaraan yang tidak bersambung melainkan dengan keduanya."
[Riwayat Ibn Majah no 3795

Panduan nabawi ini boleh dilakukan bagi membuktikan kasih cinta kita buat insan yang begitu banyk berjasa dalam hidup. Kesemua amalan berikut akan mengalirkan pahala buat ibu bapa kita dan juga menebus dosa-dosanya, sebagaimana yang dinyatakan dalam banyak riwaya hadis:

1.     Mendoakan mereka agar mendapat keampunan dan rahmat Allah
2.     Melaksanakan janji, wasiat dan amanah mereka
3.     Menghormati sahabat mereka
4.     Menyambung hubungan persaudaraan
5.     Tunaikan haji dan umrah yang belum dapat dilaksanakan
6.     Bersedekah dan melakukan kebajikan bagi pihak mereka
7.     Menggunakan harta yang mereka tinggalkan untuk tujuan kebajikan 


Sumber : Solusi 23

Wednesday, August 17, 2011

Nuzul Al-Quran

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang



Peristiwa Nuzul Al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW.



Erti Nuzul Al-Quran


“Nuzul” bereti turun atau berpindah, iaitu berpinda dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah. “Al-Quran” pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana Al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam Al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah Al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata “Al-Quran mukjizat akhir zaman” atau “Al-Quran yang mempunyai mukjizat”. Malah inilah sebenarnya kelebihan Al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam Al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam Al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini, kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
[Surah Al-An’am : 38]

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan, dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan Al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, Al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan Al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan. Proses penurunan Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 23 tahun. 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.


Bila dan Bagaimana Al-Quran Diturunkan

Terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad SAW.

Pendapat pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1 – 4 Surah Ad-Dukhan.

Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat kedua adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. Ini adalah kerana malam Lailatul Qadar yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah terjadi pada tanggal 17 Ramadhan.

Adapun dalam firman Allah SWT pada ayat 41 Surah Al-Anfaal, iaitu: “..jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad SAW) pada hari Furqan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan (di Perang Badar, antara muslimin dan kafirin)...”[Surah Al-Anfaal : 41]. Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.

Tetapi sebenarnya ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut). “Ketahuilah sesungguhnya apa sahaja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan). [Surah Al-Anfal : 41]

Dan apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul Qadar dan kelahiran Rasulullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan pada waktu di dalam takwim, maka diperolehi kesimpulan yang lebih tebat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 21 Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam “Lailatul Qadar” sebagaimana disebut adalah Al-Quran yang turun sekaligus di “Baitul Izzah: di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasulullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.

Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad SAW adalah ayat 1 – 5 Surah Al-‘Alaq.
Dan peristiwa ini terjadi ketika Nabi SAW sedang bertahannus (menyediri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 hingga 281 dari Surah Al-Baqarah.


Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul Al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatul Qadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah  SWT,
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
 [Surah al-Qadar :1-5]

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan  berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan  bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca Surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Panduan
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam Al-Quran
2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam Al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam Al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.
Manakala penurunan Al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”. 
Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.



Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatul Qadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatul Qadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatul Qadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.

Kehebatan al-Quran
1. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” [Surah Al-Israa’ : 88] 
2. Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala. 
3. Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat. 
4. Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta  ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “ dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu, selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yang benar.” [Surah Al-Baqarah : 23].
5. Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi SAW. 
6. Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia Al-Quran secara menyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, kesaktian, keagungan dan keunggulan Al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan mendalam  kekal terpelihara hingga kiamat. 
7. Al-Quran sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah berfirman yang bermaksud: “Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.”  [Surah Al-Baqarah : 2]  
8. Membaca Al-Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah saw bersabda dengan maksud: ‘Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” 

Tuntutan Al-Quran

Tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya

1.Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya.
2.Hak untuk bertakbir atau memahamin makan dan menjiwai kehidupan.
3.Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.


Peringatan

1.Al-Quran untuk dibaca bukan dijadikan perhiasan.
2.Al-Quran tidak menjadi syifa’ (ubat) bagi orang yang ingkar dan zalim.
3.Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.
4.Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah Al-Quran dengan keizinan Allah.


Kesimpulan  

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).

Semoga Ramadhan kali ini membawa rahmat kepada kita semua, amin.